Aaron, Wooi Yik bangkit benam beregu China
Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk menumpaskan wakil China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong di pusingan pembukaan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Filipina sebentar tadi.
Mereka yang diletakkan sebagai pilihan kelima tumpas di set pertama sebelum mempamerkan kebangkitan untuk memenangi perlawanan 18-21, 21-12, 21-18 dalam tempoh 48 minit.
Menurut Aaron, dia tidak mahu memberi komen banyak mengenai aksi pusingan pertama di Kompleks Sukan Muntinlupa namun dalam masa sama berharap momentum kemenangan itu dapat diteruskan.
“Kami berharap momentum kemenangan ini dapat diteruskan dalam seluruh aksi di sini,” katanya selepas perlawanan tamat.
Menanti mereka di pusingan kedua ialah pasangan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Andy Kwek yang mengalahkan gandingan Hong Kong, Chow Hin Long-Lui Chun Wai 21-10, 22-20.
Satu lagi pasangan negara yang juga pilihan kelapan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut mara selepas mengetepikan gandingan tuan rumah, Solomon Jr Padiz-Julius Villabrille 21-9, 21-14.
Sze Fei-Izzuddin akan menentang Kang Minhyuk-Kim Wonho yang sebelum itu mengalahkan Krishna Prasad Garaga-Vishnu Vardhan Goud Panjala dari India, 21-10, 19-21, 21-16.
Beregu lelaki negara yang meningkat naik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara selepas berhempas-pulas menundukkan pasangan Thailand, Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn Thongkham 21-16, 17-21, 21-12. Dalam aksi beregu campuran, pilihan kelapan yang juga gandingan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak berdepan masalah mengalahkan wakil Jordan, Bahaedeen Ahmad Alshannik-Domou Amro 21-9, 21-9.
Mereka akan berdepan Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dari Jepun yang menumpaskan Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau 21-18, 21-16.
Turut mara ialah Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang mengetepikan wakil tuan rumah, Solomon Jr Padiz-Eleanor Christine Inlayo 21-10, 21-16. Bagaimanapun, mereka bakal berdepan laluan getir di pusingan kedua apabila akan menentang pilihan ketiga dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping yang mara selepas mengalahkan pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Chasinee Korerap.
Pilihan ketujuh yang juga pasangan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga melepasi halangan pusingan pertama selepas menumpaskan Kim Wonho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan 19-21, 21-8, 21-11.
Kian Meng-Pei Jing yang masih segar dengan kejuaraan Terbuka Korea bakal berdepan Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto dari India.
Nasib kurang menyebelahi satu lagi pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See apabila mereka kalah kepada Feng Yan Zhe-Lin Fang Ling dari China 23-21, 12-21, 20-22.
Sementara itu dalam aksi kelayakan perseorangan wanita hanya Tan Zhing Yi berjaya mara ke undian utama, manakala Myisha Khairul dan Siti Nurshuhaini terkandas.
METRO