Anak derita ketumbuhan, ibu pula kena ‘scam’
BALIK PULAU: Seorang kanak-kanak dari Kampung Permatang Tepi Simpang Empat di sini, terpaksa melupakan kehidupan normal seperti rakan sebayanya apabila menghidap ketumbuhan di bahagian leher sejak berusia tiga tahun.
Noraini Aziz, 39, yang juga ibu tunggal, berkata pada awalnya ketumbuhan yang muncul di leher sebelah kiri Nurul Safika Abdullah, 9, hanya sebesar guli dengan seorang bidan kampung menyatakan bengkak yang muncul itu disebabkan masalah angin dalam tubuh.
Begitupun, masalah itu kian memburuk semasa anak ketiganya itu berusia lima tahun sehingga dia terpaksa dibawa ke Hospital Balik Pulau dan Hospital Pulau Pinang hampir setiap minggu untuk mendapatkan rawatan.
“Setiap enam jam saya akan memberi anak minum ubat melalui saluran tiub mengikut nasihat doktor tetapi sampai ke hari ini anak saya sering terjaga dari tidur sambil menangis mengadu sakit.
“Saya memang tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu menemani dan memujuknya sehingga dia kembali tidur lena,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ibu kepada empat anak berusia lima hingga 14 tahun itu, berkata Nurul Safika boleh menguruskan dirinya seperti mampu berjalan tanpa dipapah, mandi, menukar pakaian dan menyuap makanan sendiri.
Namun, Nurul Safika tidak boleh terlalu lasak dan doktor turut mengingatkan bahawa kanak-kanak itu berisiko mengalami kelumpuhan jika tidak dijaga dengan rapi.
“Anak saya juga tiada masalah menelan makanan. Tetapi ada makanan tertentu seperti pisang, kekacang dan sesetengah makanan laut yang jika dimakan akan menyebabkan gatal-gatal dan timbul kesan tompok merah,” katanya.
Noraini yang turut menghadapi masalah pendengaran berkata, dia tidak bekerja dan mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM600 sebulan, selain turut dibantu pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan individu persendirian yang bersimpati dengan nasib keluarganya.
Namun, bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, wanita itu turut berkongsi detik hitam menjadi menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon pada 7 Julai lalu sehingga semua wang dalam akaun bank miliknya lesap sekelip mata.
“Pemanggil itu minta gambar bahagian hadapan dan belakang kad ATM selain nombor kod pengesahan transaksi (TAC). Panggilan itu sebenarnya anak sulung saya yang jawab dan perkara itu berlaku begitu pantas.
“Bagaimanapun saya bersyukur ramai sudi bantu dan saya tidak terasa berseorangan menghadapi masalah ini. Persiapan Aidilfitri pun sudah cukup termasuk ada pihak bermurah hati membelikan baju raya untuk kami sekeluarga,” katanya.
Dalam hal ini, masalah keluarga Nur Safika mula diketengahkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat yang memantau perkembangan kanak-kanak itu dan keluarganya sejak 2015.
Setiausaha MPKK Simpang Empat, Idzham Ahmad, berkata Nurul Safika telah menjalani satu pembedahan pada Februari lalu namun bengkak yang tampak sedikit surut selepas sesi rawatan tersebut kembali membesar dan dia dijadual menjalani Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) pada bulan Jun ini.
“Nurul Safika turut perlu dirujuk kepada pelbagai doktor pakar seperti pakar otak, telinga, mata dan salur darah. Selepas MRI itu nanti baru doktor akan menetapkan bila pembedahan kali kedua boleh dilakukan.
“Punca ketumbuhan itu tidak diketahui dan ia tidak pula mengeluarkan air bisa, nanah atau seumpamanya. Jadi pihak kami sentiasa prihatin dengan keluarga ini dan membuat lawatan dari semasa ke semasa untuk melihat bantuan jenis apa yang boleh dihulurkan sesuai keperluan mereka,” katanya.
BHOnline