Che Puan Juliana Evans tak dapat balik raya

Aidilfitri yang bakal disambut kurang beberapa hari lagi sememangnya dinantikan dengan penuh debaran dan pelbagai rasa.

Apa tidaknya, Syawal tahun ini memberi peluang kepada kita semua untuk pulang ke kampung halaman dan menyambut bersama ahli keluarga serta sanak saudara.

Bagaimanapun pelakon Che Puan Juliana Evans memberitahu impian untuk membawa suami dan anak perempuannya meraikan Aidilfitri di Bagan Datuk, Perak tahun ini tidak kesampaian.



“Pada awalnya saya dan suami bercadang nak balik kampung saya di Bagan Datuk kerana sebelum ini saya pernah bawa dia. Malah dia sangat suka sehingga demam pada waktu itu.

“Namun mungkin ramai yang turut ambil peluang balik kampung menyebabkan semua rumah inap penuh. Jadi saya mengambil keputusan untuk beraya di rumah keluarga belah suami di Shah Alam.

“Sejujurnya saya sangat teruja nak tahu bagaimana sambutan Aidilfitri selepas kita beralih ke fasa endemik. Saya dapat rasakan lebaran tahun ini akan lebih meriah, tambah pula anak sudah makin besar,” katanya.

Tambah Juliana, tahun ini menyaksikan pembabitan kali pertama puteri tercinta, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah dan suami Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah sebagai pelakon iklan raya.



Pelakon jelita yang tersenarai dalam buku ensiklopedia Britishpedia sebagai antara Individu Berjaya Di Malaysia 2021 oleh British Publishing House selepas kejayaan mengusahakan perniagaan Jevans Jewelry itu, terkejut apabila anak perempuannya seolah-olah mewarisi bakat yang dimiliki.

Kata pelakon drama, KAMI – The Series dan filem Bella & Jamie itu, ketika penggambaran dijalankan dia tidak berdepan banyak masalah dan gembira melihat anak perempuannya pandai membawa diri.

“Tahun ini sangat istimewa sebab saya berpeluang menjalani penggambaran untuk satu iklan raya bersama suami dan anak. Saya sangat kagum dengan bakat anak perempuan saya.

“Malah sewaktu juru mekap sedang menyiapkannya pun dia pandai jaga diri. Ia adalah satu pengalaman yang cukup manis buat kami sekeluarga.



“Mak saya pun cakap yang dia saling tak tumpah macam saya sewaktu kecil,” katanya.

Sederhana

Beralih mengenai penampilan dirinya yang masih kelihatan sederhana meskipun kini sudah berstatus Che Puan, Juliana mengakui dirinya masih orang yang sama.

“Saya rasa tidak banyak perkara berubah mengenai diri saya. Maksudnya mungkin adalah beberapa perkara membabitkan protokol yang perlu saya ikut.



“Kalau berbicara mengenai diri, sudah tentu lebih matang, tambah pula usia sudah mencecah 30-an tetapi saya masih lagi suka berdikari.

“Saya tetap orang yang sama, kadang-kadang saya lupa sebab dah biasa sangat hidup berdikari tapi adakalanya suami beri peringatan.

“Kalau bahagian protokol, itu adalah apabila saya bersama dengan suami dan juga keluarganya, kalau tidak saya hanya macam biasa,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kerjaya seni, Juliana memaklumkan masih lagi menerima tawaran berlakon dan suami juga memberikan sokongan penuh terhadap minatnya.



“Saya masih lagi suka berkerja dan mahu mempunyai pendapatan sendiri, lagipun berlakon adalah minat saya.

“Tidak dinafikan memang ada banyak kepayahan untuk menjadi seorang pelakon, saya tahu dan saya sudah pun melalui semua kesusahan itu dahulu.

“Namun sekarang saya lebih bersedia. Ramai juga yang membantu dan kadang-kadang saya tetapkan peraturan untuk diri sendiri.

“Sebagai contoh 12 jam sahaja untuk berkerja, saya tahu saya punya ‘limit’ sebab dah melaluinya menerusi pengalaman.



“Adakalanya saya akan beritahu pihak produksi terlebih dahulu dan mereka akan faham. Jadi saya tidak akan terlalu paksa diri saya,” katanya.

Bagaimanapun Juliana menegaskan tidak ada layanan istimewa diberikan atas dasar status yang dimiliki sekarang.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button