KPDNHEP rampas jersi tiruan Sri Pahang

Kuantan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang merampas 78 helai jersi pasukan bola sepak Sri Pahang FC tiruan bernilai RM3,000 di bazar Aidilfitri perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan selepas menerima aduan daripada syarikat pemilik cap dagang Hakka mengenai penjualan jersi tiruan membabitkan pasukan terbabit.

Pengarah KPDNHEP Pahang Datuk Mark Ujin berkata, pihaknya membuat pemeriksaan Ops Pantau Ramadan ke beberapa premis di bazar Aidilfitri perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, yang turut disertai pengadu selepas menerima maklumat.



“Hasil pemeriksaan merampas 78 helai jersi Sri Pahang FC tiruan bernilai RM3,000 di dua premis di mana jersi tiruan dijual pada harga RM39 sehelai berbanding yang tulen RM170 sehelai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 kerana menjual atau menawarkan atau mendedahkan bagi jualan barang-barang yang cap dagangan dipakaikan dengan salah.

“Tindakan ini diharap menjadi pengajaran kepada peniaga supaya sentiasa mematuhi perundangan termasuk tidak menjual barangan tiruan pada masa akan datang,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button