Op Lancar dilaksana untuk kawal aliran trafik

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melancarkan Operasi Lancar (Op Lancar) di kawasan yang dijangka berlaku kesesakan lalu-lintas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi dijalankan sepanjang tempoh Operasi Selamat ke-18 (Op Selamat 18) sempena Aidilfitri dijalankan bermula 29 April hingga 8 Mei nanti.

“Fokus utama Op Selamat kali ini ialah memastikan aliran trafik lancar bagi pengguna jalan raya selain memastikan keselamatan harta benda dan kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah dan kemalangan semasa musim perayaan.



“Sepanjang operasi ini berlangsung, PDRM melalui JSPT bakal melaksanakan Op Lancar di kawasan ‘hotspot’ yang dijangka berlaku kesesakan lalu-lintas akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas musim perayaan nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl berkata, seluruh jentera PDRM di lapangan membabitkan anggota balai, Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta rondaan bit akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan kesesakan trafik di lebuh raya, jalan negeri serta jalan bandar.

“Pengguna jalan raya diminta peka dengan maklumat terkini mengenai aliran trafik di media sosial rasmi JSPT bagi membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing.

“Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu-lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahguna lorong kecemasan atau meletak kenderaan sehingga menghalang laluan,” katanya.



Beliau berkata, PDRM juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik dengan berkongsi video atau gambar kepada pihak JSPT supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Melalui Op Selamat 18, PDRM komited memastikan orang ramai dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana kekeluargaan demi kesejahteraan dan selamat sepanjang perjalanan.

“Kerjasama daripada orang ramai sepanjang operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button