Perang di Ukraine dikhuatiri merebak ke negara berjiran

KYIV: Peperangan di Ukraine dikhuatiri terus meruncing selepas Kyiv mendakwa Moscow cuba mencetuskan pergolakan di wilayah puak pemisah disokong Russia di Moldova.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran perkembangan sedemikian boleh berlaku di wilayah Transnistria di Maldova.

Serangan itu dilakukan selepas Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di Moscow dan merayu beliau bersetuju merundingkan pelan damai.

Tentera Russia sudah berada di Transnistria untuk berdekad lamanya selepas wilayah yang dihuni penduduk bertutur dalam bahasa Russia itu dikeluarkan daripada republik Kesatuan Soviet.

Letupan minggu ini menyasarkan Kementerian Keselamatan, menara radio dan unit tentera selepas komander Russia mendakwa jurucakap Russia di Moldova berdepan penindasan.

Dakwaan itu mencetuskan kebimbangan bahawa Moldova berkemungkinan menjadi sasaran Russia seterusnya, selepas Moscow menggunakan pertikaian sama pasca pencerobohan di Ukraine pada 24 Februari lalu.

“Russia ingin mewujudkan ketegangan di wilayah Transnistria. Jika Ukraine kalah, tentera Russia akan berada di Chisinau (ibu negara Moldova) esok,” kata pembantu presiden Ukraine, Mykhaylo Podolyak, menerusi Twitter.

Jurucakap PBB berkata, Guterres mengikuti rapat perkembangan mengenai laporan keselamatan terbaru di wilayah Transnistrian dekat Moldova.

AS mengutarakan kebimbangan sama, namun tidak senada dalam pertikaian dikemukakan Kyiv bahawa Russia bertanggungjawab di sebalik serangan berkenaan.

“Kami menyokong penuh kedaulatan dan integriti jajahan Moldova,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, kepada pemberita.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, sebelum ini melobi untuk mendapatkan bekalan senjata bagi menentang kemaraan tentera Russia di wilayah Donbas.

Sekutu Barat ketika ini dilihat bimbang untuk terbabit dalam peperangan menentang Russia, namun Washington pada suatu sidang kemuncak semalam berjanji untuk berusaha sedaya upaya bagi memastikan kemenangan Ukraine.

“Jelas Ukraine percaya boleh menang dan begitu juga semua orang di sini,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Llyod Austin, dalam pertemuan membabitkan 40 negara sekutu di Pangkalan Udara Ramstein di Jerman.

Dengan bekalan senjata dihantar ke Ukraine, Jerman semalam mengumumkan bahawa ia akan menghantar kereta kebal anti pesawat.

“Satu yang saya boleh katakan, tentera Ukraine akan mempunyai sesuatu untuk dibawa ke medan perangan.

“Kita sudah memasuki fasa terbaru… tetapi ini hanya permulaan. Lebih banyak yang bakal dihadapi oleh kita,” kata Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, menerusi sidang video di Facebook.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker