Permintaan rempah gulai nasi dagang meningkat
Kuala Terengganu: Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) yang terkenal sebagai syurga beli-belah sentiasa menjadi tumpuan ramai bagi mendapatkan produk hasil tempatan sama ada barangan keperluan harian, makanan atau kraftangan seperti batik, sutera, songket tenun dan tembaga.
Selain itu, kepelbagaian rempah ratus mengikut cita rasa pelanggan turut menjadi tarikan pengunjung ke pasar berkenaan apatah lagi menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.
Tinjauan mendapati beberapa kedai rempah ratus di pasar itu dikunjungi orang ramai untuk mendapatkan pelbagai jenis rempah masakan.
Antara rempah yang dijual ialah rempah gulai nasi dagang, gulai kawah, kurma, laksa, kerutuk, kari, dalca, nasi arab, kuzi dan nasi beriani.
Bagaimanapun, sepanjang Ramadan ini, permintaan terhadap rempah gulai nasi dagang meningkat dengan jumlah itu semakin tinggi menjelang minggu terakhir bulan puasa.
Peniaga rempah, Maimun Awang, 56, berkata, dia menerima tempahan dan sudah menjual kira-kira 500 kilogram rempah gulai nasi dagang sepanjang Ramadan tahun ini.
Katanya, permintaan terhadap rempah itu dijangka meningkat pada minggu ini berikutan orang ramai mulai rancak membuat persiapan pada minggu terakhir Ramadan.
“Kita tahu nasi dagang ini antara menu yang sinonim dengan Terengganu dan ia bukan saja dibeli dalam kalangan rakyat di negeri ini bahkan kita turut mendapat tempahan dari luar Terengganu.
“Selain rempah gulai nasi dagang, rempah gulai kawah turut menjadi pilihan dan sebagai peniaga, kita bersyukur dengan rezeki yang diperoleh pada Ramadan dan Aidilfitri tahun ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Payang, di sini, hari ini.
Bagi Baharuddin Yusof, 61, dia menganggap permintaan yang tinggi terhadap rempah ratus yang dijual sebagai rezeki mereka memandangkan dua tahun Aidilfitri disambut secara sederhana kerana pandemik Covid-19.
“Memang pasar ini jadi tumpuan pelanggan untuk mendapatkan barang masakan mereka termasuk rempah ratus dan tahun ini, kita dapat rasai kemeriahan itu dengan kehadiran pelanggan termasuk mereka yang membeli rempah ini.
“Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik, kita terpaksa menggunakan platform media sosial bagi menjana pendapatan dan hari ini, lega apabila kita dapat berniaga seperti biasa,” katanya.
METRO