Ringgit dibuka rendah sedikit

KUALA LUMPUR: Ringgit yang mencatatkan kenaikan semalam memulakan urus niaga pagi ini rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan timbulnya kebimbangan baharu mengenai prospek ekonomi global, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.3555/3585 berbanding dolar AS daripada penutup Selasa 4.3545/3570.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata beberapa siri pengumuman pendapatan korporat bagi suku pertama agak bercampur-campur, sekali gus mencadangkan prospek yang mencabar kerana syarikat perlu berdepan dengan peningkatan kos perniagaan, terutama bahan mentah dan tenaga buruh.

“Situasi geopolitik masih lagi belum selesai dengan Russia dijangka menghentikan eksport gas mereka ke Poland dan Bulgaria.



“Kebimbangan mengenai sekatan pergerakan meningkat di Beijing memandangkan ia telah memulakan keperluan ujian besar-besaran berikutan peningkatan kes COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka kekal sekitar paras rintangan RM4.36 hari ini.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.4142/4168 daripada penutup Selasa pada 3.4065/4087 tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.6356/6388 daripada 4.6532/6559.



Ia menambah, nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1584/1609 berbanding penutupan semalam 3.1697/1720 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4797/4834 daripada 5.5359/5391.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker