14 variasi kerabu ‘diserbu’ pengunjung

Kuala Kangsar: Peminat hidangan salad kerabu pasti tidak kecewa tatkala berkunjung ke gerai Dapur Abe Mat di bazar Ramadan Arena Square, di sini, apabila berpeluang memilih lebih 14 variasi makanan itu.

Disebabkan itu, tidak hairanlah gerai yang diusahakan Mohd Shahdad Mohamad, 55, bersama isteri, Shayani Sarip, 50, ‘diserbu’ pengunjung hingga membuatkan sesetengah jenis kerabu cepat habis.

Antara varian kerabu yang ditawarkan ialah kerabu ayam, daging, makanan laut (udang, kerang, sotong), perut, kaki ayam, kerabu ikan tongkol, kerabu telur masin, kerabu suun, kerabu telur puyuh dan kerabu mangga.

Selain itu, turut dijual di gerai itu adalah cucur udang yang disifatkan lain daripada lain apabila lebih banyak udang daripada adunan tepungnya, selain beberapa lagi bagi hidangan seperti colek, tomyam serta som tam yang terdiri daripada dua variasi iaitu betik dan mangga.



Mohd Shahdad yang mesra disapa ‘Abang Mat’ berkata, kemahiran membuat semua hidangan ala Thailand itu dipelajari menerusi arwah ibunya iaitu seorang warga Thailand yang berkahwin dengan arwah bapanya.

Katanya, dia memperuntukkan antara 260 hingga 310 bekas sehari hanya bagi jualan kerabu yang dijual pada harga RM5 hingga RM30 bergantung kepada jenis.

“Sejak lapan tahun berniaga di bazar Ramadan di sini, alhamdulillah kebiasaannya jualan memang laku bahkan baru-baru ini terdapat pelanggan yang sanggup datang dari Parit Buntar semata-mata bagi memperoleh kerabu di gerai kami.

“Kerabu yang paling mendapat permintaan tinggi adalah kerabu ikan tongkol memandangkan sepengetahuan saya ia sangat jarang dan sukar diperolehi di tempat lain, selain disebabkan pembuatannya yang agak sukar,” katanya.



Ditanya mengenai som tam iaitu menu yang signifikan dengan masyarakat Thailand, Mohd Shahdad berkata, secara dasarnya ia turut termasuk dalam kategori kerabu memandangkan tekstur dan cara pembuatannya khususnya som tam mangga hampir serupa khususnya dengan kerabu mangga.

“Cuma, orang tempatan (Malaysia) sudah jadi terikut-ikut dengan panggilan ‘som tam’ walaupun perbezaan ketara hanya pada tambahan bahan ikan bilis bagi kerabu mangga berbanding som tam mangga yang tidak menggunakan bahan itu,” katanya.

Bag hidangan tomyam, Mohd Shahdad berkata, pelanggan boleh memilih sendiri variasi serta kuantiti bahan antaranya siput lala dan siput pahat selain ayam, daging udang dan sotong.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker