Anih Berhad sedia hadapi ‘kerancakan’ trafik mulai esok

Kuantan: Anih Berhad menjangkakan peningkatan kepada 207,500 kenderaan sehari di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mulai esok hingga 8 Mei depan sempena sambutan Aidilfiti akan datang.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, sebanyak 100,000 kenderaan sehari pula membabitkan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

Katanya, berdasarkan statistik, Lebuhraya KLK mencatatkan jumlah kenderaan sebanyak 145,231 buah pada setiap hujung minggu, manakala LPT1 pula mencatatkan sebanyak 45,600 kenderaan.

“Sebagai persediaan, Anih Berhad meningkatkan usaha memastikan keadaan Lebuhraya KLK dan LPT1 berada dalam keadaan baik dengan melakukan kerja pembaikan jalan raya.



“Selain itu, kita melakukan penambahbaikan kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) dan hentian sebelah sejak awal Ramadan kerana aliran trafik ke Pantai Timur menunjukkan peningkatan ketara.

“Anih Berhad juga giat meningkatkan kemampuan tenaga kerja bagi menyediakan perkhidmatan terbaik demi memastikan kesesakan musim perayaan ini dapat dikurangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil termasuk menambah bilangan jurutol seiring dengan penambahan lorong di plaza tol dari 100 kepada 151 lorong.

Di samping itu, katanya, syarikat itu akan mengedarkan cadangan waktu perjalanan di Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Temerloh termasuk kaunter Pusat Khidmat Pelanggan, minggu ini.



“Anih Berhad akan meningkatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan menerusi langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kemalangan termasuk kekerapan rondaan pasukan LPT Ronda.

“Kami juga meningkatkan jumlah aset dan tenaga kerja bagi mempercepatkan tempoh masa tindak balas di lebuh raya dan mengaktifkan laluan kontra sekiranya berlaku kemalangan.

“Justeru, pengguna dinasihatkan melakukan pemanduan secara berhemah dan bersabar demi keselesaan semua,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker