Baju raya terakhir anak pengubat rindu

Gua Musang: Sejak lima tahun lalu, rasa rindu warga emas, terhadap anak lelakinya, yang lemas di Sungai Nenggiri, dekat sini tidak pernah padam.

Lebih memeritkan apabila jasad Adnan Che Soh, 29, anak bongsu daripada lapan beradik yang dihanyutkan arus sungai sehingga kini belum ditemui.

Menyelami hati wanita itu, Che Minah Yaakob, 70, berkata, rasa rindu terhadap anak lelakinya tidak pernah padam terutama menjelang Aidilfitri ketika semua ahli keluarga berkumpul.

“Kehilangan arwah sangat dirasai, tambahan pula arwah adalah anak bongsu dan sentiasa ada bersama saya. Bila teringatkan arwah saya akan menangis dan sedekahkan al-Fatihah untuk rohnya.



“Sehingga kini, saya masih simpan baju raya terakhir arwah, bila rindukan dia saya akan pegang baju ini, terasa seakan arwah masih ada bersama.

“Apa lagi yang mampu saya buat, arwah tiada kubur untuk diziarahi, kerana mayatnya tidak ditemui selepas dua minggu operasi mencari dan menyelamat. Namun saya reda,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Prak di sini.

Mengimbas kembali kejadian pada 27 Januari 2017, Che Minah berkata, seorang penduduk kampung memaklumkan anak lelakinya terjatuh dari atas jambatan sementara Kampung Pulau Setelu.

“Ketika kejadian saya berada di kebun belakang rumah, sebelum ke kebun dia masih berada di rumah, sebaik menerima berita saya terus ke lokasi kejadian dan hanya selipar arwah yang tinggal, manakala motosikalnya ditemui tersangkut pada besi jambatan.



“Selepas dua minggu operasi mencari dan menyelamat, arwah tidak juga ditemui, namun saya berpuashati kerana pelbagai usaha dilakukan oleh pihak terbabit. Saya anggap ini takdir,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker