Emery lega hanya bolos dua gol

LIVERPOOL: Jurulatih Villarreal, Unai Emery lega apabila pasukannya akan ke perlawanan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara bertemu Liverpool berbekal defisit 2-0 selepas kekalahan di Anfield.

Liverpool tampak kecewa pada babak pertama apabila Villarreal banyak bertahan namun tuan rumah memecah kebuntuan selepas rehat hasil gol sendiri lawan dan cubaan Sadio Mane.

Pasukan dari Sepanyol itu langsung tidak mengancam lawan serta tidak berjaya mendapatkan sebarang cubaan ke sasaran.



“Saya perlu akui, ia boleh menjadi lebih buruk,” kata Emery kepada Movistar Plus.

“Kami cuba menyerang, membuat hantaran, membina gerakan tetapi mereka tidak membenarkan kami berbuat apa sahaja dan tindakan terakhir kami ialah bertahan untuk terus menghidupkan peluang pada perlawanan kedua.

“Kami tidak banyak melakukan apa yang dimahukan. Kami perlu sederhana dan menjadikan perlawanan kedua sesuatu yang sama sekali berbeza. Kami perlu bermain dengan lebih baik seperti yang kami selalu lakukan.”

Skuad kendalian Emery tampak kurang menyerlah berbanding pasukan agresif yang menyingkirkan Juventus pada kelompok 16 terakhir dan Bayern Munich pada suku akhir.



“Perancangan kami ialah cuba bertahan tanpa jaringan sebaik mungkin dan membawa perlawanan ke stadium kami,” kata pertahanan tengah, Pau Torres kepada Movistar Plus.

“Tapi pada penghujungnya, sebarang kesilapan akan menghukum anda,” katanya merujuk kepada jaringan sendiri pertahanan Villarreal, Pervis Estupinan yang cuba mengeluarkan hantaran lintang Jordan Henderson pada babak kedua.

“Kami rasa selesa pada babak pertama, perancangan kami hampir sempurna, tapi kami berdepan lawan yang sangat bagus yang berjaya mendapatkan gol kedua dengan sangat cepat kerana kami masih merasai kesan gol pertama itu.”

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button