Geng Sumbu guna 3,000 biji pelita hias kampung

Batu Pahat: Sekumpulan belia yang menggelarkan mereka sebagai Geng Sumbu menggunakan 3,000 pelita membina gerbang di laluan masuk ke Kampung Baru Sri Gading bagi memeriahkan malam tujuh likur.

Disertai 30 belia, mereka berganding bahu membina gerbang pelita sekali gus memeriahkan lagi suasana malam menyambut ketibaan 1 Syawal dengan limpahan cahaya lampu pelita.

Ketua Geng Sumbu Kampung Baru Sri Gading, Mohd Azam Isnin berkata, selain teruja untuk menyambut hari raya Aidilfitri, gerbang pelita berkenaan juga adalah simbolik meraikan kepulangan anak perantau ke kampung meraikan Aidilfitri tahun ini.

“Sudah dua tahun kita semua tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan meriah akibat negara dilanda pandemik Covid-19, jadi ini peluangnya untuk kita sama-sama meraikannya dengan suasana gembira dan ceria.

“Kali ini kami menggunakan sebanyak 3,000 pelita dan reka bentuk gerbang pelita yang ditampilkan pada tahun ini adalah mengambil idea reka bentuk daripada Masjid Kristal di Terengganu yang mempunyai bentuk yang lebih menarik,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Azam berkata, gerbang pelita yang mencecah ketinggian hampir 15 meter itu menggunakan sebanyak 90 liter diesel setiap hari bagi menghidupkan semua lampu pelita berkenaan.

“Kami akan pasang lampu pelita berkenaan selama seminggu sehingga 1 Syawal nanti dan anak perantau atau penduduk di sekitar Batu Pahat boleh singgah untuk mengambil gambar di gerbang pelita berkenaan sebagai kenangan meraikan kemeriahan Aidilfitri.

“Kami juga mengutamakan keselamatan pengunjung ketika mengambil gambar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti kod QR MySejahtera dan menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi membantu kelancaran aliran trafik di kawasan kampung,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli berkata, pihaknya menyambut baik usaha penduduk kampung yang begitu kreatif dalam menceriakan kampung berkenaan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri.

“Penganjuran gerbang pelita di sini sudah masuk ke tahun ke tiga dan beberapa kelonggaran SOP fasa peralihan ke endemik baru-baru ini membolehkan tradisi memasang pelita bagi meraikan Aidilfitri di kampung diteruskan.

“Diharapkan penduduk kampung dapat meneruskan tradisi menghias pelita di kawasan kampung berkenaan supaya budaya tradisi seperti ini tidak akan pupus ditelan zaman,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker