Guna pistol tiruan samun kedai runcit

Kuala Langat: Polis menahan seorang lelaki yang terbabit dalam beberapa jenayah samun menggunakan pistol tiruan di Jalan Sungai Buaya, Banting dekat sini, kelmarin.

Suspek berusia 26 tahun itu dikesan melakukan jenayah di sekitar Kuala Langat dan Klang sejak seminggu lalu dengan menyasarkan kedai runcit.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, suspek ditangkap susulan laporan daripada peniaga kedai runcit di Kampung Sungai Buaya yang mendakwa disamun lelaki bersenjatakan pistol.

Katanya, ketika kejadian, mangsa didatangi suspek yang memegang sepucuk pistol dan meminta wang sebelum berlaku pergelutan.



“Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek pada jam 8.40 pagi di Jalan Sungai Buaya, Banting serta menemui sejumlah barang dan wang disyaki hasil daripada kegiatan samun di Kuala Langat dan Klang.

“Antara barang rampasan ialah sepucuk pistol tiruan bersama satu unit kelopak tanpa peluru; sebilah pisau hulu, sekeping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM); pas pekerja; telefon bimbit serta wang tunai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek yang juga peniaga kecil tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mula aktif sejak seminggu lalu.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes samun kedai runcit di Taman Rambai Indah; Jalan Sungai Buaya; Kampung Kanchong; Bandar Saujana Putra; Telok Gong (Pelabuhan Klang) serta sebuah klinik di Rimbayu.



“Suspek direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker