Hotel ‘si bulus’ habis ditempah sempena Aidilfitri

Seremban: Bukan sahaja tiket bas habis ditempah, hotel kucing di sekitar negeri ini juga habis ditempah pemilik haiwan comel berkenaan yang pemiliknya mahu pulang beraya di kampung halaman masing-masing.

Pemilik This Is Meowness di Nilai, Nur Filzah Supian, 37, berkata, hotel kucing diusahakannya menerima tempahan luar biasa tahun ini berbanding beberapa tahun kebelakangan ini.

“Di hotel kucing saya, terdapat 46 sangkar atau bilik berbeza saiz yang mana boleh memuatkan sehingga 100 kucing dalam satu masa. Saya membuka tempahan sempena raya bermula beberapa hari selepas puasa.

“Pada hari keempat sahaja, bilik kucing bagi tarikh 30 April hingga 5 Mei habis ditempah. Orang ramai betul-betul menyambut raya pada tahun ini selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian,” katanya.



Nur Filzah yang mengusahakan hotel kucing bersama suaminya, Syahroudy Abdul Aziz, 37, berkata, pelanggannya bukan terdiri daripada penduduk Nilai, malah ada yang dari Seremban, Bangi dan Putrajaya.

“Selain faktor tidak dapat pulang beraya sebelum ini, permintaan mendadak itu disebabkan ramai individu yang membela kucing ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mempunyai banyak masa terluang di rumah,” katanya.

Pengusaha Klinik Kucing Cinta Qaseh di Seremban, Azliza Ahmad, 40, pula berkata, dia menyediakan premis dan sangkar baharu pada tahun ini selepas menjangkakan permintaan tinggi sempena musim perayaan.

“Selepas dua tahun dikekang wabak Covid-19 saya sudah menjangkakan permintaan tinggi daripada pemilik kucing. Bukan hanya pada musim perayaan, malah setiap kali terdapat cuti panjang, hotel kucing kami mendapat tempahan yang tinggi.



“Saya kemudiannya menyewakan sebuah bangunan baru yang dikhaskan untuk hotel kucing sahaja memandangkan saya juga mengusahakan klinik kucing.

“Jadi untuk perayaan Aidilfitri ini kucing yang dihantar ke sini akan menikmati sangkar dan peralatan baharu. Kini terdapat 100 sangkar kecil atau setingkat dan 15 sangkar tiga tingkat.

“Tarikh yang paling banyak ditempah adalah pada 30 April hingga 3 Mei dan sehingga kini boleh dikatakan sudah hampir penuh.

“Pada tahun ini kami mengenakan deposit bagi yang membuat tempahan kerana sebelum ini ramai yang membatalkan tempahan pada saat akhir,” katanya yang sudah 10 tahun mengusahakan hotel dan perkhidmatan kesihatan kucing.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker