Kempen antiminyak sawit serlah diskriminasi EU

TENTANGAN ekonomi negara maju terhadap minyak sawit; minyak masak paling banyak dihasil, diguna dan diperdagangkan semuanya bukan rahsia lagi melainkan bagi melindungi perdagangan kacang soya yang menjadi minyak makan kedua paling banyak dihasilkan.

Parlimen Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini mengundi biofuel berasaskan sawit diharamkan sepenuhnya menjelang 2021, manakala biofuel berasaskan tanaman lain dihadkan pada kadar 7 peratus sebelum pengurangan secara beransur-ansur kepada 3.8 peratus menjelang 2030.

Tindakan sedemikian dikaitkan dengan kepercayaan EU penanaman kelapa sawit harus dipersalahkan, terutama dalam kemusnahan hutan.

Satu lagi larangan perdagangan menjejaskan eksport minyak sawit Malaysia datang daripada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) untuk menyekat import minyak sawit ke dalam ekonomi terbesar dunia itu atas dakwaan konon akibat penggunaan buruh paksa.

Eksport minyak sawit ke benua Eropah juga menghadapi pelbagai halangan walaupun pengeksport komoditi itu dari Asia secara sukarela mematuhi peraturan pensijilan mampan di bawah skim Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Walaupun menjadikan keperluan kemampanan sebagai mandatori, ia sebenarnya bukan satu isu bagi pengeksport memandangkan minyak sawit mampan akan menerima harga pasaran premium.

Namun, kegagalan atau sikap teragak-agak EU mengiktiraf Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) Malaysia dan Indonesia, iaitu Sertifikasi Perkebunan Kelapa Sawit Indonesia (ISPO) menghadirkan kebimbangan serius kepada kedua-dua negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia ini.

Ia satu keadaan yang pelik memandangkan Eropah hanya menyumbang 6.4 peratus daripada pasaran minyak sawit dunia, namun RSPO yang berlagak seperti kartel, berusaha mengumpul tekanan daripada pengguna di pasaran Barat yang kaya raya untuk dilimpahkan kepada pengeluar minyak sawit Asia.

Imbas semula, Indonesia adalah negara pertama membangunkan skim pensijilan kebangsaannya sendiri, iaitu ISPO pada 2011, diikuti Malaysia empat tahun selepas itu dengan MSPO.

Sejak itu, kedua-dua negara berkempen secara global untuk mendapatkan pengiktirafan piawaian masing-masing serta hak mentakrif minyak sawit mampan berdasarkan terma dan syarat mereka sendiri.

Serangan tidak adil dan dakwaan baharu terus memburuk serta menjatuhkan industri di tengah-tengah aspek perundangan dan standard pensijilan sedia ada sekadar alasan bagi memastikan hak pekerja dilindungi, sedangkan hakikatnya, penanaman kelapa sawit hanya membabitkan 0.31 peratus daripada lima bilion hektar kawasan pertanian global.

Seperti diketengahkan Ahli Pusat Kajian Kemampanan Minyak Sawit Gambia, Muhammed Magassy, tidak mengejutkan jika pengeluar minyak sawit utama seperti Malaysia dan Indonesia menganggap pendirian antiminyak sawit EU sebagai ‘aparteid tanaman’ memandangkan tingkah laku sedemikian menghidupkan semula asal usul industri eksploitatif dan kolonial.

Ketika larangan biofuel oleh EU dilaksanakan, pada masa sama ia memberikan perlindungan yang licik apabila mengecualikan produk biji minyak Eropah seperti rapeseed, sejenis tumbuhan selalu ditanam untuk menghasilkan minyak dan biji bunga matahari – yang sebenarnya memerlukan lebih banyak tanah, air dan baja berbanding sawit daripada sebarang jenis denda ekonomi.

Dasar Pertanian Bersama

“Kami di Afrika sangat tahu perkara ini. Dasar Pertanian Bersama (CAP) EU menyediakan subsidi tahunan RM196.2 bilion kepada petani domestik, dengan itu mengukuhkan keupayaan mereka untuk mengeksport pada harga rendah ke negara membangun.

“Ini memberikan pengeluar Eropah kelebihan tidak adil dalam pasaran seperti Afrika, menyebabkan petani tempatan muflis,” hujah Muhammed dalam artikel bertajuk Green Trade War on Palm Oil diterbitkan e-majalah The Parliament berpangkalan di London.

Bayangkan sikap berat sebelah ini dibenarkan berleluasa walaupun minyak sawit mempunyai banyak manfaat kesihatan yang mendorong Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melancarkan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan untuk mempamerkan inisiatif serta pengurusan industri minyak sawit Malaysia yang mampan.

Menghalang kemasukan minyak sawit memang mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan penggiat industri global yang khuatir keputusan sedemikian boleh mempengaruhi destinasi eksport utama lain untuk mengikuti langkah berkenaan.

Sejak akhir ini, kempen antisawit dilihat disemarakkan semula termasuk pada peringkat sekolah dengan mengaitkan kemunculan ladang sawit dengan kepupusan spesies Orang Utan.

Seperti dinyatakan sebelum ini, stigma sebegitu muncul walaupun terdapat undang-undang untuk melindungi dan melarang pengembangan penanaman sawit di bawah program pemuliharaan sedia ada. Nampaknya tidak kira berapa banyak langkah pencegahan yang dilaksanakan, ia tidak pernah mencukupi.

Walaupun Malaysia dan Indonesia tidak mempunyai niat bermusuh, sudah tentu tiba masanya untuk industri minyak sawit mengambil tindakan lebih proaktif dan agresif untuk menangkis dakwaan tidak berasas pesaing kuat di luar sana yang giat berkempen mempromosi jenis minyak sayuran lain boleh dimakan.

Sudah tiba masa untuk semua badan pensijilan berkenaan tampil mempertahankan minyak sawit dengan menepis semua dakwaan itu.

Sama ada peluangnya tipis atau sebaliknya, Malaysia dan Indonesia mesti secara proaktif meneruskan tindakan undang-undang mereka yang difailkan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap sekatan EU ke atas biodiesel minyak sawit.

Pertubuhan Perdagangan Dunia

Dalam usaha untuk memulihara biodiversiti dan hidupan liar, kumpulan itu memulakan inisiatif tiga tahun baharu bagi melindungi dan meningkatkan nilai pemuliharaan dan kawasan simpanan karbon tinggi dalam persekitaran ladangnya dengan menanam spesies pokok asli dan pokok buah-buahan liar yang cepat membesar.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sedang mengusahakan pertemuan dengan CBP AS dan EU menjelang Julai tahun ini untuk menjelaskan secara terperinci mengenai dakwaan isu buruh paksa dan pada masa sama, menangani kesan daripada Perintah Pelepasan Tahan (WRO) dikeluarkan CPB AS kepada Kumpulan FGV Holdings Bhd (FGV) dan Sime Darby Plantation Bhd (Sime Plantation) pada 2020.

Pada masa sama, wakil Malaysia menghadiri prosiding pertikaian mengenai dakwaan diskriminasi EU terhadap industri minyak sawit negara dari 8 hingga 18 Mei ini untuk Malaysia memberikan pendapat mengenai isu ini.

Justeru, rakyat diseru untuk bersama menangani dakyah antisawit oleh negara Barat yang jelas bertujuan menjatuhkan industri sawit negara kita.

Kementerian akan berjuang dengan agresif dan habis-habisan menentang tekanan pihak asing ini dan memberikan mereka semua bukti berkaitan. Kami akan tunjukkan kepada mereka Malaysia bukan negara boleh diperbodohkan.

BHOnline

Leave a Reply