Penstrukturan semula ekonomi perlu disegera

BANGI: Masalah struktur ekonomi negara perlu ditangani segera bagi membolehkannya menjana pertumbuhan selaras dengan perkembangan teknologi, sekali gus memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan berbanding negara lain, khususnya negara serantau.

Profesor Ekonomi UKM-Graduate School of Business yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali, berkata sehubungan itu kerajaan dicadangkan supaya menubuhkan satu pasukan khusus yang bertanggungjawab untuk melaksanakan penstrukturan semula ini dan memantau perkembangannya bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan.

Katanya, adalah satu kerugian buat negara jika pemulihan yang sedang giat dilakukan pasca COVID-19 oleh kerajaan tanpa membabitkan penstrukturan semula.

“Pemulihan tanpa penstrukturan adalah satu kerugian yang besar dan sia-sia untuk negara. Struktur yang menjadi landasan kepada ekonomi sebenarnya berubah mengikut zaman, perkembangan teknologi dan banyak lagi termasuklah geopolitik.

“Dulu kita bercakap mengenai teknologi, apabila teknologi berubah, cara kita bekerja juga berubah. Contoh di universiti, cara penyampaian dan pendidikan serta pembelajaran di univeriti juga berubah.

“Malah, saya amat yakin untuk berkata bahawa 80 peratus daripada masalah yang kita lihat ketika krisis COVID-19 sebenarnya menunjukkan kepada negara yang kita mempunyai masalah struktur,” katanya dalam satu sesi temu bual dengan BH baru-baru ini.

Mengulas lanjut Noor Azlan berkata, sebagai contoh, cara berurusan dengan kerajaan yang mana dulu konsepnya adalah perlu pergi ke pejabat kerajaan, ke kaunter dan perlu bawa dokumen yang masih diamalkan kini sehingga menyebabkan kekecohan ketika krisis COVID-19 melanda.

“Anda tahu tak, sewaktu krisis, isu ini kecoh. Orang ramai mengadu tidak boleh mendaftar pembelian kereta, tidak boleh berurusan dengan pejabat tanah kerana ditutup selain tandatangan tidak boleh dibuat secara digital.

“Jadi apa semua ini sebenarnya? Sebenarnya ia menunjukkan perkhidmatan awam kita masih dengan cara lama.

“Justeru, untuk perubahan struktur, kita kena sedia berubah, kerajaan dan rakyat kena bersedia, maksudnya konsep bersemuka sudah tiada dan kita kena terima,” katanya.

Tambah Noor Azlan, kerana itu perlu ada satu pasukan khusus yang jika boleh melaporkan terus kepada perdana menteri dan semua kementerian mesti tahu apakah perkara utama yang perlu distruktur semula.

Katanya, pasukan khusus ini perlu sentiasa mengikuti isu, memantau dan melaporkan kepada perdana menteri dan ia boleh merentasi semua kementerian.

“Masalah dalam negara kita ini sebenarnya tidak akan boleh selesai dalam satu kementerian sahaja kerana isu yang hendak ditangani berkait sehingga membabitkan dua, tiga kementerian.

“Saya bagi contoh, apabila kerajaan kata mahu bangunkan sektor aeroangkasa, saya nak tanya, di Malaysia ada berapa banyak jurutera aeroangkasa? Berapa universiti ada hasilkan graduan aeroangkasa dan berapa banyak program TVET babitkan aeroangkasa?

“Dulu universiti berebut untuk mendapatkan Institut Angkasa yang akhirnya UKM dapat, tetapi institut ini sudah pun ditutup dan diserapkan ke dalam Institut Kajian Iklim. Ini menunjukkan kita banyak buat kerja separuh jalan,” katanya.

Dalam pada itu Noor Azlan berkata, jika dilihat pada sektor perbankan, bank pada masa ini adalah amat digital dan sudah tidak ramai orang yang pergi ke bank untuk melakukan urusan.

“Ini bererti bank juga sedang berubah. Malah sebelum ini pernah kecoh apabila orang bising mengenai penutupan cawangan bank, sedangkan yang sebenarnya ia ditutup kerana urusan perbankan kini sudah banyak dibuat secara dalam talian dan keperluan menyewa untuk kedai fizikal itu sudah tidak perlu,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker