Rumah terbakar, raya tahun ini suram

Pontian: Dua sekeluarga di Kampung Tenggayun di sini, menyambut Aidilfitri dalam keadaan tidak sempurna apabila rumah yang didiami musnah terbakar petang semalam.

Norazizi Omar, 22, berkata ketika kejadian tengah hari itu, dia berada di tempat kerja manakala bapanya, Omar Shamsudin, 49, di luar kawasan kerana mempunyai urusan.

Katanya, dia dihubungi rakan melalui telefon memaklumkan rumahnya sedang terbakar dan bergegas pulang sebelum mendapati separuh rumahnya sudah dilijat api.



“Saya dan penduduk kampung cuba memadamkan api sebelum bomba tiba tetapi api marak dengan cepat.

“Semua peralatan rumah termasuk pakaian musnah dalam kebakaran, ” katanya anak keempat dari lima beradik itu.

Katanya, dia yang tinggal bersama bapanya hampir dua tahun lalu di rumah itu menyifatkan Aidilfitri tahun ini paling suram kerana semua peralatan rumah hangus terbakar.

“Kami amat berterima kasih kepada penduduk kerana menghulurkan pakaian serta makanan dan minuman untuk berbuka puasa.



“Pendapatan bulanan saya kecil dan tidak mampu untuk membeli pakaian baru sempena sambutan Aidilfitri, pakaian lama (sedia ada) pula musnah dalam kebakaran.

“Buat sementara ini kami menumpang di rumah ahli keluarga berdekatan dan reda dengan apa yang berlaku,” kata pekerja kilang itu.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Mahadir Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.49 tengah hari dan tiba di lokasi 10 minit kemudian bersama dua jentera.

“Operasi tamat jam 2.10 petang dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button