Empat pemain import kuatkan UiTM FC hadapi Liga-M2021

05/01/2021 01:04 AM

SHAH ALAM, 4 Jan — Kelab bola sepak UiTM FC mendapatkan khidmat empat pemain import baharu untuk menguatkan skuad berkenaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Presiden UiTM FC Prof Dr Azizan Abdullah berkata empat pemain import baharu itu ialah Dominik Picak dari Croatia, Abu Bakr Al-Mel (Lebanon), Adam Tull (Filipina) dan Nana Poku (Ghana).

“Selain itu UiTM FC turut menyambung kontrak seorang pemain import pada musim lepas, Victor Nirennold,” katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan bersama pemain dan barisan kejurulatihan UiTM FC di sini, hari ini

Lapan pemain tempatan pula adalah Khairul Asyraf Sahizah dan Mohd Alif Najmi dari Perak 2; Mohd Khairul Rizam Che Soh (Kelantan FA); Dirga Surdi dan Muhammad Farid Nezal (PDRM FC); Muhammad Hardee Shamsuri (Pahang); Mohd Fauzi Latiff (Negeri Sembilan) dan Mohd Khairul Izuan Rosli (Kelantan United).

Azizan berharap barisan pemain baharu berkenaan dapat mempamerkan aksi terbaik supaya UiTM FC mampu memberikan saingan dalam merebut kejuaraan Liga Super 2021.

Beliau berkata saingan musim lepas merupakan detik amat bersejarah bagi UiTM FC apabila buat julung kali layak beraksi dalam Liga Super.

“UiTM FC berjaya melepasi sasaran ditetapkan oleh saya pada awal musim 2020 untuk kekal beraksi dalam Liga Super 2021, malah pasukan ini juga berjaya menjadi antara pasukan yang disegani dalam Liga Super pada musim lepas,” katanya.

Beliau berkata kejayaan menduduki tangga keenam dalam Liga Super dan layak beraksi sehingga ke suku akhir Piala Malaysia, juga menangkis tanggapan banyak pihak yang beranggapan UiTM FC hanyalah pasukan pelengkap sekadar bermain satu musim sahaja dalam liga berkenaan.

— BERNAMA

Piala Malaysia: Selangor, UiTM FC lengkapkan slot suku akhir

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker