‘Syukur ditemukan abang’ – Tiz Zaqyah

Kuala Lumpur: “Rezeki Ramadhan, bertemu dengan abang (sebapa) dan keluarganya buat pertama kali seumur hidup kami…”.

“Perasaan bila tahu ada abang ehe! Selalu saya doakan seorang abang untuk jaga saya..”i wish i have a brother :(“and it came true). “Alhamdulillah….”

Demikian hantaran status dimuat naik pelakon Tiz Zaqyah di media sosialnya yang mengundang tanda tanya peminat.

Tiz, 34, atau nama sebenar Siti Zaqyah Razak, ketika dihubungi berkata, ia bukan gurauan kerana dia kini sudah bertemu abang kandung sebapa.

“Dia dah lama cari kami. Kebetulan saya ada di Singapura untuk event Aura Kasih. Dia hubungi sales Aura Kasih menerusi nombor dalam Instagram.

“Jadi bila saya dapat mesej itu, saya terus rasa ada sesuatu. Saya tak fikir panjang tapi nak jumpa dia.

“Perasan tak sabar dan memang betul, dia kongsi gambar bapa kami. Juga kami berkongsi cerita dan terbukti memang sah, kami ini adik beradik,” katanya dengan perasaan sebak.

Tiz yang menyifatkan Ramadhan kali ini amat terindah berkata, dia sering merasa hidupnya tercari-cari sesuatu selama ini dan akhirnya terharu apabila mendapati mempunyai abang kandung.

“Saya amat bersyukur dan banyak berdoa agar abang ada rezeki bertemu ayah kandung kami di Malaysia nanti. Pada saya ini adalah Ramadhan dan Syawal terindah apabila Allah makbulkan doa kami.

“Selama ini saya fikir saya hanya dua beradik dengan kakak. Selepas ini hubungan kami akan lebih rapat lagi.

“Perasaan ada abang itu susah nak dijelaskan. Sangat lain rasanya kerana sejak kecil lagi saya memang mendoakan ada abang.

“Memang rezeki dari Allah kerana saya selalu berdoa agar ada abang untuk jaga saya. Kasihan kerana sangat lama hubungan ini terputus. Lagi sebak bila orang cakap dia wali saya juga,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Nur Kasih ini berkata, sebaik mereka berjumpa, ayat pertama yang dikeluarkannya ialah “adakah kamu abang saya?”

“Macam hati itu tahu sangat. Betapa kuat naluri itu. Yang penting, kami semua bersyukur, dan emosi sangat. Kami dah bersatu dan kuasa Allah SWT menyatukan darah daging.

“Allah hadiahkan silaturahim keluarga yang mungkin tidak pernah wujud selama ini. Patutlah jiwa saya mencari. Macam tak sempurna sebelum ini.

“Doakan yang terbaik untuk perjalanan keluarga kami ini ya. Doakan kami semua bersatu dan jumpa kebahagiaan yang lama kami impikan,” katanya.

Menurutnya abangnya lahir pada tahun 1980, manakala dia pula dilahirkan pada 1988.

“Kami bertemu pada usianya 42 tahun dan saya pula 34 tahun. Dia dapat tahu kami ada pertalian dua tahun lalu apabila rakannya minta dia tengok Ig saya kerana muka ayah sama.

“Tapi selepas itu kita kena Perintah Kawalan Pergerakan membuatkan usahanya menjejaki saya terhenti sementara.

“Masa berjumpa, dia tunjukkan gambar hitam putih ayah kami dan macam-macam lagi seperti dokumen lahir.

“Saya pun memang rasa mukanya seiras dan naluri itu kuat tak boleh tipu, dan terus rasa selesa berada dengan abang,” katanya.

METRO

Leave a Reply