Tidak hormat Ramadan, 25 diminta beri keterangan

Kuala Lumpur: Seramai 23 individu diberikan Surat Perintah Hadir (SPH) ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk memberi keterangan kerana tidak menghormati Ramadan setakat ini.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, Bahagian Penguatkuasaan Jawi menjalankan pemantauan di 280 premis makanan sepanjang Ramadan membabitkan peruntukan di bawah Seksyen 15 (Akta 559) iaitu tidak menghormati Ramadan.

Katanya, selain itu pihaknya juga melakukan 105 siri rondaan di sekitar taman awam di bawah Seksyen 29 (Akta 559) iaitu perbuatan tidak sopan di tempat awam dan melakukan pemeriksaan.

“Sehingga April 2022, kita melaksanakan aktiviti pemeriksaan dan pemantauan di lebih 20 premis judi di bawah Seksyen 18 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 559).

“Mereka yang didapati melakukan kesalahan akan diberikan SPH bagi melengkapkan siasatan serta dikehendaki mengikuti Kursus Pemantapan Akhlak (KPA) anjuran Jawi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, selain aktiviti pemeriksaan dan pemantauan, Bahagian Penguatkusaan Jawi juga melaksanakan 11 siri aktiviti turun padang dan empat siri Program Pencegahan dan Penerangan Berunsur Nasihat (Ampun) bagi menyantuni masyarakat di sekitar Wilayah-Wilayah Persekutuan dengan memberikan kesedaran serta mengedarkan risalah maklumat Undang-undang Syariah.

Mohd Ajib berkata, melalui Ampun, pihaknya menerima maklum balas yang positif daripada masyarakat yang disantuni dan didekati.

“Rata-rata orang ramai yang ditemui bersedia meluangkan sedikit masa untuk mendengar penerangan yang disampaikan oleh Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) dan menerima baik penjelasan dan risalah yang diedarkan sebagai bahan rujukan yang menambah pengetahuan.

“Justeru kami merancang lebih banyak lagi siri penerangan membabitkan pelbagai golongan sasaran pada masa akan datang.

“Ia adalah pendekatan kita untuk berdakwah kerana yang penting adalah masyarakat diberi nasihat dan penerangan dengan baik. Ini yang saya harapkan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker