Kerajaan cari jalan selesai peningkatan kos bahan binaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha merangka penyelesaian susulan peningkatan mendadak kos binaan sehingga memberi kesan kepada harga kediaman akibat konflik antara Russia dan Ukraine, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) dipertanggungjawab untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang.

“Kerajaan menyedari kediaman menjadi keperluan mendesak bagi Keluarga Malaysia. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan MPMMN, langkah-langkah segera dan jangka panjang sudah digariskan untuk menyelesaikan perkara ini.

“Ini adalah selari dengan usaha memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 dalam usaha mengelakkan mereka daripada menanggung beban kewangan yang berat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PR1MA ASTRUM Ampang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

BHOnline

 

 

Leave a Reply