RM31,451 lesap ditipu bomoh Facebook

MUKAH: Seorang wanita kerugian RM31,451 selepas diperdaya bomoh yang dikenalinya melalui Facebook, yang kononnya dapat mengubati penyakit dan menyelesaikan masalahnya dengan teman lelaki.

Mangsa, 38, yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak dikatakan mengenali suspek yang juga lelaki warga Indonesia dengan nama Ustaz Mangkubono menerusi laman sosial itu pada 24 April lalu.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, sepanjang perkenalan mangsa berkongsi dengan lelaki terbabit beberapa masalah dihadapinya termasuk menghidap sawan dan kemurungan, selain berdepan masalah dengan teman lelaki.

“Suspek pada masa sama memberi penerangan kepada mangsa tentang upacara ritual bagi menyembuhkan sesuatu penyakit dengan cepat, menyebabkan mangsa percaya.



“Suspek bagaimanapun mendakwa memerlukan modal untuk membeli barangan diperlukan untuk ritual terbabit, sebelum mangsa memindahkan wang melalui lapan transaksi kepada lelaki terbabit,” katanya.

Muhamad Rizal berkata, tujuh transaksi membabitkan jumlah RM23,451 dilakukan ke akaun bank penama Leni Taryati antara 24 hingga 26 April lalu, manakala satu lagi transaksi ke akaun bank penama Lim Siew Chian membabitkan jumlah RM8,000 dibuat pada 26 April.

“Mangsa juga mendakwa sering dihubungi suspek untuk meminta wang dan selepas merasakan dirinya tertipu, wanita itu tampil membuat laporan di Balai Polis Mukah jam 5 petang semalam

“Berdasarkan maklumat, mangsa memperoleh wang berkenaan hasil jualan dan gadaian emas miliknya, selain meminjam wang daripada keluarga bagi menanggung kos ritual perubatan berkenaan,” katanya.



Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker