Sabah kekalkan SOP Pesta Kaamatan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan sambutan pesta menuai padi atau Pesta Kaamatan di Sabah yang bakal diadakan pada 30 sehingga 31 Mei hadapan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan berkata, keputusan terbabit diambil pihaknya walaupun beberapa kelonggaran diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Walaupun SOP sudah dilonggarkan tetapi kita masih perlu berhati-hati supaya Pesta Kaamatan ini diraikan secara terkawal.



“Kita memutuskan untuk mengekalkan SOP dan juga had minimum di dalam dewan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi sidang media Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah bertempat di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Sabah di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai sambutan Pesta Kaamatan, Jeffrey berkata, perayaan terbabit akan mula diraikan bermula 1 Mei di Keningau dan kemuncaknya akan diraikan di Hongkod Koisaan pada 30 sehingga 31 Mei.

Beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) itu berkata, pihaknya juga sudah membuat pengisian program baharu bagi sambutan tahun ini di mana anugerah khas akan diberikan kepada golongan petani di Sabah.



“Kita juga memperkenalkan satu lagi program baru iaitu penganugerahan kepada petani yang menunjukkan prestasi dan produktiviti disamping menggalakkan penanaman khususnya padi bermula tahun ini.

“Sebagai permulaan kita hanya ada tiga kategori (penganugerahan untuk petani) iaitu kategori pengeluar padi terbaik, kategori pengeluar makanan ternakan dan juga perikanan,” katanya.

Bagi sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, beliau juga memberitahu sebanyak RM1.5 juta dana yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri.

Bertemakan ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi’, Jeffrey berkata, pihaknya menekankan berkenaan alam sekitar berikutan perubahan iklim sedunia sudah memberi impak kepada alam sekitar seperti pencemaran, banjir, kebakaran dan sebagainya.



METRO

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button