Setahun sekali aje…



Georgetown: Vattalapam dan semiakeseri – mungkin ada yang tidak pernah merasai keenakan kuih pencuci mulut masyarakat India Muslim berkenaan.

Keenakan juadah itu hanya dapat dirasai setiap kali tiba Ramadan namun hanya segelintir peniaga yang menjualnya.

Peniaga, Adam Mustaqim Sathir berkata, vattalapam atau telur sekaya lengat berwarna kekuningan dibuat menggunakan santan, telur, kurma, buah pala serta kacang dan ia biasanya dimakan bersama putu mayung.

Manakala semiakeseri yang juga dikenali sebagai kuih seri muka berwarna jingga pula menggunakan bahan seperti suun, susu, gula dan kacang.



“Kedua-dua kuih yang dijual itu adalah menggunakan resipi keluarga kami sejak beberapa generasi sebelum menjualnya pada 90-an.

“Sepanjang Ramadan, kami membuat kira-kira lima loyang yang berisi hampir 50 potongan kuih setiap satu,” katanya ketika ditemui di sini.

Gerai jualan yang diusahakan keluarga Adam Mustaqim di Bazar Ramadan Lebuh Queen di sini, turut menjual kira-kira 10 jenis kuih masyarakat India Muslim.

Menurut Adam Mustaqim, berikutan rasa kedua-dua kuih berkenaan yang manis, ia turut digemari masyarakat Melayu.

“Memang ramai masyarakat India Muslim yang tahu membuat kuih ini namun rasanya tidak sama bergantung kepada air tangan dan resipi masing-masing.

“Kuih ini dijual pada harga 70 sen hingga RM1 bagi setiap potongan dan memang habis dijual setiap hari sepanjang Ramadan ini,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker