Suamiku pembunuh

New York: Seorang wanita Britain sanggup terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk berkahwin dengan seorang pembunuh yang kini menanti untuk menjalani hukuman mati.

Rebecca Short, 26, menyembunyikan hubungan dengan penjenayah, Manuel Ovante Jr daripada keluarganya.

Ovante, 35, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Eyman di Arizona kerana membunuh seorang lelaki dan wanita dalam rompakan dadah pada 2018.

Short yang juga seorang jururawat pergigian pelatih dari Chipping Norton di Oxfordshire menyiarkan gambar di Disney World di Florida dan Jambatan Golden Gate di San Francisco selepas dilaporkan memberitahu keluarganya dia pergi ke AS untuk bercuti.

Namun, saudaranya terkejut apabila dia memuat naik gambar dan mengumumkan perkahwinan pada 14 April lalu.

Wanita itu memakai busana berwarna hitam manakala Ovanre memakai pakaian penjara berwarna oren.

Dia turut membawa kek perkahwinan yang tertulis ‘hanya maut yang dapat memisahkan kita’, lapor The Sun.

Ovante memperkenalkan dirinya di aplikasi dalam talian sebagai seorang yang sangat setia.

Dalam profilnya juga, dia turut mencari seseorang yang memiliki sifat humor dan menikmati hidup dengan gembira.

“Saya seorang yang mudah didekati dan sangat setia.

“Saya juga setia pada mereka yang mengambil berat dan sedar tiada sesiapa sempurna dan berharap tidak menilai masa silam,” kata banduan hukuman mati itu.

Dia juga ada menggambarkan dirinya sebagai seorang yang sangat suka membaca dan mendengar muzik.

Lelaki itu turut mendedahkan dia memiliki seorang anak perempuan bernama Bonnie.

Ovante disabitkan bersalah kerana membunuh Jordan Trujillo dan Damien Vickers selepas dia dan tiga rakan pergi ke rumah Trujillo, pada Jun 2008.

METRO

Leave a Reply