Jual mercun terang-terangan di ekspo

Teluk Intan: Tindakan seorang lelaki menjual mercun secara terang-terangan tanpa permit di sebuah ekspo bersebelahan Menara Condong, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, peniaga berusia 39 tahun itu ditahan bersama sejumlah mercun dan bunga api pelbagai jenis pada 6.45 petang.

Menurutnya, penahanan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak ketika pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).



“Anggota melihat sejumlah mercun di sebuah meja di hadapan kedai sebelum datang seorang lelaki mengaku menjual mercun itu.

“Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang lesen menjual bunga api dan mercun apabila diminta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, lelaki itu kemudiannya ditahan dan barang rampasan dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu mendapatkan bekalan mercun di Manjung dan menjual mercun di lokasi itu sejak dua hari lalu.



“Semakan mendapati lelaki itu tiada rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak membeli dan bermain mercun di musim perayaan ini bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, peniaga juga diingatkan supaya tidak menjual mercun dan bunga api tanpa permit yang sah serta dibenarkan oleh pihak polis.

METRO



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button