Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama Jemaah Menteri serta perwakilan asing di Istana Negara, di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, dan Jemaah Menteri.

Antara menteri yang hadir ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.



Majlis dihadiri kira-kira 800 tetamu itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Selain itu, perwakilan asing termasuk dari Turki, Singapura, Amerika Syarikat, Azerbaijan, Australia, New Zealand, Bangladesh, Pakistan, Ireland dan Kanada, juga hadir.

Tetamu lain yang dijemput adalah veteran ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ahli sukan veteran, ketua Orang Asli serta aktivis sosial.

Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri itu berlangsung di Istana Negara selepas dua tahun pandemik COVID-19 melanda negara, dengan kali terakhir diadakan pada 2019.



Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button