JPJ keluar 261 saman operasi khas motosikal

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 261 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas motosikal sempena Aidilfitri di negeri ini, kelmarin.

Kesalahan berkaitan lesen memandu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 88 saman diikuti 57 saman membabitkan kesalahan cukai jalan tamat tempoh.

Pengarah JPJ negeri, Kamarul Iskandar Nordin berkata, dalam operasi khas itu 501 kenderaan diperiksa, dengan 138 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.



Katanya, sebuah motosikal disita untuk siasatan lanjut atas kesalahan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain, selain terdapat gangguan pada nombor casis dan enjin.

“Operasi khas motosikal diadakan secara bersepadu bersama pihak polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di enam lokasi membabitkan enam daerah.

“Operasi tertumpu di lokasi dikenal pasti laluan utama motosikal yang juga penyumbang tertinggi statistik kemalangan dan kematian jalan raya di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, untuk musim perayaan ini, pihaknya mengadakan rondaan berterusan di semua laluan utama negeri bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang.



“Kita tidak akan berkompromi dengan pemandu yang sengaja melakukan kesalahan dan tindakan tegas menanti mereka,” katanya.

BHOnlline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button