‘Separuh nyawa’ dibawa pergi

Di sebalik kerinduan insan tersayang di alam abadi, ada banyak hal yang perlu difikirkan termasuk masa depan dan tanggungjawab yang perlu digalas.

Meskipun separuh nyawa ibarat turut dibawa pergi, namun setiap insan yang melalui ‘kesakitan’ ini perlu kuat dan tabah dalam menjalani kehidupan seharian.

Itulah semangat yang dipegang oleh tiga selebriti tanah air, Shahmira Muhamad, Anita Baharom dan Amen Khalid saat diduga kehilangan insan tersayang.

Kuala Lumpur: Pelawak, Shahmira Muhamad atau Shuib yang kehilangan isteri tercinta yang juga penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada Ogos tahun lalu, mengaku Syawal disambut secara sederhana memandangkan ini Aidilfitri pertama tanpa arwah Siti Sarah di sisi.



“Sambutan Aidilfitri tahun ini kami anak-beranak akan menyambutnya secara sederhana dan cukuplah sekadar meraikan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

“Malah, persiapan untuk Aidilfitri pun saya masih tidak buat apa-apa lagi. Kalau ada pun lebih tertumpu kepada anak-anak sahaja,” katanya.

Menurut Shuib, biarpun sudah lapan bulan pemergian isteri tersayang, kerinduan terhadap arwah masih menebal sehingga dia mengaku hilang selera makan dan berat badannya makin menyusut.

“Saya tak sakit, cuma tiada selera makan sangat. Ramai yang tegur berat badan saya semakin susut dan kurus.



“Saya suka makan pajeri nanas air tangan arwah isteri. Selama 10 tahun kami berkahwin, itulah makanan yang tak pernah jemu dia masak untuk saya.

“Selepas arwah meninggal dunia, saya mengemas peti sejuk dan terjumpa pajeri nanas masakannya. Air mata saya mengalir kerana terlalu sebak.

“Bila Ramadan, pajeri nanas lah yang saya cari dulu tapi sehingga ke saat ini, saya masih tak jumpa makanan yang boleh naikkan selera saya.

“Saya hilang lapan kilogram (kg) dan dijangka terus menyusut hingga 11kg pada penghujung Ramadan ini. Bagaimanapun, demi anak-anak, saya paksa diri untuk makan. Makan sekadar untuk beri tenaga dan bukannya beriya-iya,” katanya.

Enggan larut dengan perasaan rindu meskipun berat untuk dilalui, Shuib sedar dia mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membahagiakan anak-anaknya.

“Anak-anak nampak kuat dan sudah boleh bercakap macam-macam mengenai arwah ibunya. Walaupun soalan-soalan yang ditanya itu sebenarnya buat diri saya ‘koyak’ tapi saya harus kuat depan mereka.

“Saya tak boleh sakit sebab anak-anak perlukan saya. Kalau terus begini (tiada selera makan), ia akan mengganggu kesihatan. Badan pun akan kurus seperti papan dan muka jadi cengkung,” katanya.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu akibat Covid-19 iaitu tiga hari selepas melahirkan anak bongsu, Ayyash Affan.

Hasil 10 tahun perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan empat orang cahaya mata, Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan yang berusia sembilan bulan.

Kuala Lumpur: “Sekarang ini sayalah ibu, sayalah bapa untuk anak-anak. Saya kena kerah otak untuk cari duit dan bayar komitmen serta membesarkan anak-anak.”

Demikian luah pelakon, Anita Baharom yang kehilangan suami tercinta, Allahyarham Mohd Ismadi Ismail secara mengejut ketika dalam tidur.

Anita memaklumkan, segala persiapan Syawal tahun ini akan dilakukan secara ala kadar.

Kata Anita, sepanjang mendirikan rumah tangga 16 tahun lalu, dia dan arwah akan bersama-sama menyediakan juadah hari raya.

“Arwah seorang suami dan ayah yang sangat penyayang. Dia bukan hanya menjadi ketua keluarga bertanggungjawab malah ringan tulang membantu kerja di dapur.

“Selalunya, kalau bulan Ramadan, dia akan sediakan juadah untuk sahur, tapi kali ini saya perlu buat seorang diri. Saya dengan arwah memang manja, kadang waktu sahur air Milo saya pun dia yang sediakan.

“Persiapan juadah raya tahun ini saya akui buntu sebab setiap tahun dia yang akan masak nasi briyani untuk kami sebab bila dia buat, sangat sedap rasanya,” katanya.

Tambah Anita, sebenarnya dia tidak mahu menyambut Aidilfitri tahun ini namun memikirkan soal anak-anak, dia cuba mencari kekuatan.

“Sejujurnya, tahun ini saya tiada perancangan nak menyambut Aidilfitri, tapi takkan kita taknak sambut raya…anak-anak pun tak raya juga kan. Kasihan pada mereka pula.

“Jadi saya belilah juga baju raya untuk anak-anak tapi tidaklah semeriah dulu. Ikut kemampuan demi nak lihat anak-anak beraya tahun ini,” katanya yang akan menyambut Aidilfitri di kampung halaman keluarganya di Sungai Petani, Kedah.

Menurut Anita, dia harus kuat membendung rasa sedih, rindu dan sunyi sekali gus perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu bersama anak-anak.

“Mahu atau tidak saya kena terus hidup dan mulakan dari bawah.

“Risau juga bila memikirkan mengenai masa depan. Saya jadi terfikir sampai bila akan begini dan dalam masa sama saya kena bekerja untuk kelangsungan hidup bersama anak-anak.

“Sekarang ini segala beban memang di bahu saya seorang. Namun mujurlah ada sokongan daripada rakan-rakan yang selalu ada dan sanggup pinjamkan telinga untuk dengar cerita saya,” katanya.

Tambah wanita berusia 39 tahun itu, sejak pemergian suami tercinta, dia sering mengelamun seorang diri kerana terlalu memikirkan mengenai masa depan bersama anak-anaknya.

“Walaupun luarannya kelihatan saya okay dan bergelak-tawa, tapi hakikatnya saya sering menangis, selalu berasa sedih teringatkan arwah.

“Apabila tengok drama yang berkaitan kehilangan memang tersentuh sehingga saya termenung. Entah kenapa sejak kebelakangan ini juga saya kerap mengelamun sehingga ramai tegur.

“Anak-anak pun sangat rindukan ayahnya. Saya pernah cakap pada diri saya nak arwah kembali dalam hidup, tapi benda dah hilang. Nak peluk pun dah tak boleh,” katanya.

Allahyarham suami Anita yang juga bekas wartawan dan penerbit program Astro menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kencing manis di kediaman mereka pada 1 Januari lalu.

Arwah meninggalkan Anita bersama tiga cahaya mata mereka, Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.

——————————————————————–

Kuala Lumpur: “Kehilangan ini semua orang akan rasa. Saya anggap pemergian papa sudah tertulis,” kata Amen Khalid, 26.

Amen yang juga anak keempat kepada pengarah prolifik, Allahyarham Mamat Khalid berkata, sambutan Ramadan dan Syawal kali ini sangat berbeza.

Menurutnya, dia serta seluruh keluarga kini perlahan-lahan cuba belajar menerima hakikat dan reda atas ketentuan itu.

“Sejujurnya, nak dapatkan semula suasana tanpa dia memang ambil masa, lebih-lebih lagi mama yang hidup lama dengannya. Setiap kali Ramadan, papa memang ada saja perancangan untuk bawa kami berbuka puasa di luar negeri.

“Kadang-kadang dia bawa kami bercuti ke Kelantan untuk mencari makanan berbuka puasa yang sedap. Memori inilah yang saya rindukan dan selalu teringat.

“Sambutan Aidilfitri tahun ini kami tetap sambut sebab saudara mara akan datang ke Ipoh, Perak beraya bersama kami. Walaupun papa sudah tiada, tapi kami selalu anggap dia ada untuk timbulkan rasa semangat,” katanya.

Menurut Amen, setiap kali dia merindui arwah bapanya, dia akan cuba mengalihkan fikiran dengan berkata bapanya sedang menjalani penggambaran di luar kawasan.

“Saya selalu bayangkan dia tiada di sisi sebab pergi menjalani penggambaran di luar negeri untuk sedapkan hati.

“Masa akan menjadi ubat untuk merawat kesedihan ini. Selalunya akan saya luangkan masa bersama mama dan bersembang dengannya. Walaupun hakikatnya saya sendiri tidak kuat, tapi saya perlu tunjukkan yang kita boleh kuat.

“Alhamdulillah setakat ini saya nampak mama makin okey. Dia pun dah mula memasak, Insya-Allah dia kuat untuk melalui semua ini,” katanya.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober tahun lalu.

Mamat Khalid meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker