Tak serik dua kali diserbu polis

PETALING JAYA: Sebuah pusat karaoke di Icon City, di sini, yang pernah dua kali diserbu polis sebelum ini, dikenakan tindakan selepas menjual minuman keras tanpa lesen sah malam tadi.

Tindakan diambil susulan serbuan jam 11.15 malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya, selepas menerima aduan awam yang disalurkan melalui Twitter.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata ketika serbuan terdapat 13 lelaki dan 11 wanita di dalam premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis itu mempunyai lesen hiburan sah, namun pihak polis mengesan kesalahan lain iaitu menjual minuman keras tanpa lesen sah.



“Justeru, tindakan diambil ke atas premis hiburan terbabit mengikut Akta Eksais 1976,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata tindakan lain turut dikenakan ke atas premis yang pernah diserbu dua kali sebelum ini iaitu pada Ogos dan Oktober tahun lalu.

“Kita juga mengambil tindakan ke atas premis kerana beroperasi melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Penyakit Berjangkit, selain menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja sah,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya memandang serius sebarang aduan disampaikan orang awam dan menegaskan tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana pengusaha pusat hiburan yang melanggar undang-undang sedia ada.



“Saya ucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat serta mengalu-alukan penglibatan masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker