1 Syawal catat 25 kemalangan maut

KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatat di seluruh negara pada hari pertama umat Islam menyambut Aidilfitri semalam.

Ia juga angka tertinggi dalam tempoh empat hari Op Selamat 18 sejak dilancarkan pada 29 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata 28 kematian itu membabitkan 25 kemalangan maut yang direkodkan sepanjang tempoh 24 jam dengan penunggang dan pembonceng motosikal mencatat angka tertinggi menerusi 19 kematian.

“Angka kematian lain membabitkan enam pemandu dan penumpang kereta, pejalan kaki (dua) dan pemandu jip (satu).



“Secara keseluruhan, sebanyak 1,353 kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara semalam.

“Selangor mencatat kes tertinggi dengan 248 kes, diikuti Johor (193), Perak (138), Kedah (123) dan Pulau Pinang (101),” katanya kepada BH, hari ini.

Hari pertama Op Selamat 18 pada 29 April lalu menyaksikan 10 kemalangan maut membabitkan 10 kematian dicatatkan, sebelum meningkat dengan 17 kemalangan maut dan 18 kematian pada hari kedua.

Hari ketiga merekodkan 20 kemalangan maut dengan 20 kematian dicatatkan.



Razarudin berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 72 kemalangan maut direkodkan dengan keseluruhan 76 kematian dicatatkan dalam tempoh empat hari Op Selamat 18 sempena Aidilfitri itu.

“Untuk tempoh sama, Selangor mencatat jumlah kemalangan maut tertinggi dengan 10 kes, manakala Pahang dan Kelantan masing-masing mencatat lapan kes, diikuti Johor dengan tujuh kes.

“Perak dan Sarawak masing-masing mencatat enam kes, manakala Kedah, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan masing-masing lima kes dan Perlis, Kuala Lumpur dan Terengganu masing-masing tiga kes, Sabah (dua) dan Melaka (satu),” katanya.

Razarudin berkata, Selangor masih mencatat jumlah kemalangan tertinggi iaitu 1,650 kes, diikuti Johor (920), Kuala Lumpur (688), Perak (674), Pulau Pinang (597), Kedah (422), Pahang (380), Negeri Sembilan (323) dan Kelantan (319).

Lima negeri mencatat jumlah kemalangan terendah iaitu Melaka dengan 270 kes, Sabah (232), Sarawak (215), Terengganu (200) manakala Perlis hanya mencatat 42 kes kemalangan.

“Rekod turut menunjukkan kebanyakan kemalangan berlaku di jalan bandaran dengan 2,925 kes, diikuti jalan persekutuan (1,383), jalan negeri (1,307), lebuh raya (731) dan jalan-jalan lain (568).

“Semalam, sembilan kes kemalangan maut dilaporkan di jalan negeri, tujuh kes di jalan persekutuan, manakala jalan bandaran dan jalan-jalan lain masing-masing mencatat tiga kes dan dua kes di lebuh raya,” katanya.

Razarudin berkata, sebanyak 211,235 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik kepada pemandu dan pemilik kenderaan sejak Op Selamat 18 dilancarkan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker