Keprihatinan orang ramai semarakkan ‘mood’ raya – Polis

Kuala Lumpur: Keprihatinan orang awam terhadap pegawai dan anggota yang bertugas pada Aidilfitri dengan memberikan makanan kepada mereka antara kenangan manis dialami Asisten Superintendan Mohd Asther Mohamad, 39.

Mohd Asther yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh berkata, keprihatinan orang ramai itu jelas kelihatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sepanjang tempoh 17 tahun saya berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), hanya lima kali sahaja saya beraya bersama keluarga di kampung iaitu di Kota Bharu, Kelantan dan Batu Gajah, Perak (kampung sebelah isteri).

“Meskipun ada rasa sedih apabila bertugas ketika hari raya, namun saya merasakan ia adalah pengalaman yang berharga kerana dapat meraikannya bersama rakan serta anak buah.



“Malah, masyarakat juga memberikan sokongan dan prihatin terhadap mereka yang bertugas pada hari raya dengan memberikan makanan kepada kami terutama semasa PKP,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, makanan yang diberikan kepada mereka pada hari raya bukan sahaja daripada masyarakat Melayu, malah berbilang kaum.

“Selain mendapat makanan seperti rendang dan ketupat, kami juga ada menerima makanan daripada individu kaum India yang memberikan maruku.

“Saya terharu dan amat menghargai keprihatinan orang ramai terhadap kami yang bertugas pada hari raya. Suasana itu sekali gus menimbulkan ‘mood’ hari raya meskipun tidak pulang berhari raya,” katanya.



Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Komersial IPD Serdang Asisten Superintendan Haryanti Che Mat, 39, berkata, beliau bersyukur apabila ahli keluarga amat memahami situasinya yang perlu bertugas pada hari raya.

“Dalam tempoh 15 tahun berkhidmat dalam pasukan, saya jarang dapat balik ke kampung di Kota Bharu, Kelantan kerana perlu bertugas.

“Namun, saya bersyukur kerana ahli keluarga amat memahami terutama arwah bapa memandangkan dia juga adalah bekas anggota polis,” katanya.

Haryanti berkata, tugasnya memerlukan beliau untuk sentiasa memantau dan mengetahui setiap laporan yang diterima anak buahnya meskipun dalam tempoh bercuti.

“Sejak lima tahun lalu selepas kehilangan ibu dan bapa pada tahun yang sama, saya mahu memberikan fokus pada kerjaya. Saya bersyukur kerana adik-beradik lain amat menyokong kerjaya saya.

“Pada masa sama, ketika PKP, saya merasakan kami (pegawai dan anggota polis) berada betul-betul dekat dengan masyarakat menerusi tugas pemantauan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker