Mahkamah tetapkan 14 Mei dengar rayuan Apandi Ali

Oleh – Syeikh Baran


Mahkamah tetapkan 14 Mei dengar rayuan Apandi Ali
Tan Sri Apandi Ali. FOTO Arkib NSTP

Mahkamah Persekutuan menetapkan 14 Mei untuk mendengar permohonan bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamad Apandi Ali untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman RM10 jutanya terhadap Tan Sri Lim Kit Siang.

Peguamnya M. Visvanathan ketika dihubungi mengesahkan kepada Bernama tarikh pendengaran kes itu.

Mohamed Apandi memfailkan permohonan itu pada 1 Disember lalu, apabila gagal dalam rayuannya yang ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2 November tahun lalu.

Beliau mahu Mahkamah Persekutuan membuat ketetapan mengenai lima persoalan undang-undang.

Samannya terhadap Lim berhubung artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (IMDB) telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mei 2022.

Dalam samannya yang difailkan pada 2019, Mohamed Apandi mendakwa bahawa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan menyebabkan terbitnya artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” di portal Malaysiakini.

Mohamed Apandi mendakwa kata-kata fitnah dalam artikel itu membayangkan bahawa beliau terlibat dengan jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika dan telah menyalahgunakan kuasanya semasa menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi, yang merupakan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, berhujah bahawa perkataan-perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan disiarkan dengan niat untuk mencemarkan imej dan kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia untuk publisiti murahan.

Dia menuntut ganti rugi teruk dan teladan, RM10 juta sebagai ganti rugi am, injunksi untuk menghalang Lim dan/atau ejennya daripada menerbitkan semula perkataan yang didakwa berunsur fitnah itu dan relif lain yang didapati sesuai oleh mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar (kini hakim Mahkamah Rayuan) dalam menolak saman Mohamed Apandi telah memutuskan bahawa Lim berjaya dalam mewajarkan keistimewaan yang beliau layak apabila membuat kenyataan itu kerana skandal 1MDB melibatkan jenayah, undang-undang, memberi kesan kepada sosial dan ekonomi negara dan juga persoalan mengenai akhlak pemimpin-pemimpin dan agensi-agensi tertinggi negara.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker