Aliran trafik dari utara, timur ke Lembah Klang terus sesak

KUALA LUMPUR: Aliran trafik menghala ke Lembah Klang dari utara dan timur, masih sesak setakat tengah hari ini, berikutan warga kota mula pulang selepas cuti Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, kesesakan dari arah utara menghala ke Lembah Klang berlaku di Bertam menuju ke Plaza Tol Sungai Dua; Permatang Pauh ke Seberang Jaya; dan Juru ke Plaza Tol Juru.

“Kesesakan juga dilaporkan berlaku di Bukit Tambun menuju ke Bandar Cassia; Alor Pongsu ke Bukit Merah; Changkat Jering ke Bukit Berapit; Kuala Kangsar ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak hingga ke Terowong Menora; Ipoh ke Gopeng; dan Bidor ke Slim River,” katanya kepada Bernama.



Bagi aliran trafik dari pantai timur pula, katanya, kesesakan berlaku di Bentong menuju ke Plaza Tol Bentong dan selepas Plaza Tol Bentong menuju ke Bukit Tinggi.

Bagaimanapun, katanya, aliran trafik dari arah selatan ke Lembah Klang masih terkawal dengan kesesakan hanya dilaporkan berlaku di Sedenak menuju ke Simpang Renggam.

“LLM menjangkakan kesesakan berlarutan hingga lewat malam. Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan mereka terlebih dahulu,” katanya.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button