Di mana kita bocor?

Kuala Lumpur: Manipulasi dasar pelancongan negara oleh sindiket yang membenarkan kemasukan pelancong luar tanpa visa ke negara ini menjadikan Malaysia pilihan pangkalan sindiket calling center (pusat panggilan) perjudian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sindiket ini juga memanipulasi galakan kemasukan pelancong apabila pihak berkuasa yang menjaga pintu masuk utama negara diminta mempercepatkan proses pemeriksaan pelancong (di lapangan terbang).

Menurutnya, ini menjadi tarikan utama sindiket untuk masuk ke Malaysia dan dikesan antara punca kepada mereka (ahli sindiket) senang meloloskan diri.

“Selain itu, hukuman yang rendah dan mampu dibayar oleh sindiket perjudian ini juga menjadi tarikan sindiket ini untuk beroperasi di Malaysia. Contohnya, Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 serta penjara maksimum tiga tahun dan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas jika sabit kesalahan,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Abd Jalil berkata, selain itu, wujud permintaan tinggi daripada pemain judi tegar menyebabkan judi atas talian makin berkembang.

“Ditambah operasi-operasi pembanterasan ke atas premis perjudian tanpa lesen seperti perjudian bersemuka dalam premis menggunakan komputer riba, komputer atau tablet menyebabkan mereka beralih kepada perjudian secara maya.

“Dipercayai sindiket perjudian beralih ke arah menawarkan permainan secara maya atas talian (Judi online – JOL) demi mengurangkan risiko kerugian akibat serbuan berterusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata, 619 serbuan ke atas pusat panggilan dijalankan bagi tempoh tiga tahun iaitu 291 pada 2020, 292 serbuan (2021) dan 36 serbuan dari Januari hingga Mac tahun ini.

“Daripada jumlah serbuan itu seramai 4,204 tangkapan dalam tempoh sama iaitu 2,532 pada 2020, seramai 1,460 (2021) dan 212 orang bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

“Manakala. rampasan membabitkan telefon bimbit, komputer dan tablet pula sebanyak 20,147 bagi tempoh tiga tahun ini iaitu setakat Januari hingga Mac tahun ini sahaja sebanyak 934 rampasan,” katanya.

Katanya, sindiket masih lagi mensasarkan kediaman mewah atau elit sama ada banglo atau kediaman bertingkat (kondominium), berpengawal/berpagar, terasing dari orang ramai, kawalan keluar masuk yang ketat seperti kad akses pintu dan sebagainya.

“Terkesan juga sindiket calling center menjadikan ruang pejabat sebagai pusat panggilan bagi mengaburi pihak berkuasa. “Selain itu, terdapat sindiket calling center yang menyewa apartmen biasa dan sering berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

METRO

Leave a Reply