KFC dan Nasi goreng ‘No pedas’ untuk Bella

Kuala Lumpur: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun hari ini meraikan sambutan Aidilfitri bersama remaja Sindrom Down, Bella, yang kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Seremban.

Rina berkata, remaja berusia 13 tahun itu kelihatan manis dan ceria mengenakan baju bertemakan warna ungu serta gembira menikmati juadah yang dihidangkan kepadanya dan penghuni lain di pusat berkenaan.

Rina memaklumkan, selain menghidangkan makanan seperti nasi impit, lemang, rendang, ayam goreng, kek dan kuih muih, beliau turut membawa nasi goreng yang dimasaknya sendiri dari rumah, yang menjadi kegemaran Bella.

“Selain KFC, Bella memang suka nasi goreng ‘no pedas’, berselera sungguh dia menikmati hidangan yang saya bawa.

“Terima kasih kepada warga kerja pusat perlindungan kanak-kanak ini yang tanpa jemu menjaga dan melindungi kanak-kanak yang ditempatkan di sini setiap hari.

“Alhamdulillah, mereka dijaga dengan baik dan sempurna dari sudut keperluan fizikal dan emosi,” kata Rina melalui Facebooknya, hari ini.

Kisah Bella didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia dan prosiding mahkamah berkaitan kes berkenaan masih berjalan.

Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

METRO

Leave a Reply