Mayat bogel, kaki tangan diikat dalam sungai

TUMPAT: Mayat seorang lelaki dalam keadaan bogel dengan kaki dan tangan diikat serta muka ditutup ikatan kain, ditemukan di Sungai Golok, Kampung Simpangan, di sini, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Tan Seng Lee, berkata pihaknya menerima panggilan awam pada jam 7.25 pagi berhubung penemuan mayat tanpa identiti itu.

“Mayat itu ditemukan terapung di Sungai Golok dalam keadaan meniarap dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat serta muka ditutup ikatan kain.

“Mayat dijumpai dalam keadaan bogel serta tiada kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada tubuh mangsa.

“Kita percaya mayat itu sudah berada dalam air lebih 24 jam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Seng Lee berkata, identiti mayat masih belum dikenal pasti, manakala umur mangsa dianggarkan dalam lingkungan 30-an hingga 40-an.

Katanya, mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tumpat, untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Beliau berkata, pihaknya sudah menemui penduduk Thailand di seberang Sungai Golok tetapi setakat ini, belum mendapat maklumat berkaitan orang hilang.

“Kami akan berhubung serta bekerjasama dengan pihak berkuasa selatan Thailand untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai yang ada maklumat atau kehilangan ahli keluarga, boleh berhubung dengan Asisten Superintendan Md Sani Md Saleh melalui talian 012-9216944,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker