Polis akan rekod keterangan ahli keluarga doktor pelatih

Georgetown: Polis telah merakamkan keterangan daripada doktor dan rakan serumah seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang dilaporkan maut terjatuh dari apartment rumah sewanya di Jalan Datuk Keramat, di sini 17 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan berkata, ketika ini siasatan berhubung kejadian membabitkan punca kematian pegawai perubatan siswazah dari Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berusia 25 tahun itu giat dijalankan.

“Seterusnya polis akan mengambil keterangan daripada ahli keluarga doktor pelatih tersebut dalam masa terdekat, mungkin minggu ini (rekodkan keterangan) bagi membantu siasatan kes itu.

“Buat masa ini, kematian doktor pelatih itu polis masih klasifikasikan sebagai kematian mengejut. Siasatan punca kematian masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.



Katanya, polis juga masih menunggu keputusan bedah siasat, ujian makmal dan laporan kimia berhubung kematian doktor pelatih tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin dalam kenyataan berasingan berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Kerajaan Negeri dalam masa terdekat untuk membincangkan isu itu secara formal dan mencari solusi terbaik serta perubahan sebenar berhubung perkara tersebut.

“Mesyuarat itu akan melibatkan doktor-doktor pelatih dan muda terlebih dulu sebelum diteruskan dengan mesyuarat bersama pengarah kesihatan, timbalan pengarah kesihatan, pengarah-pengarah hospital, ketua-ketua jabatan di Pulau Pinang bagi membincangkan isu tersebut secara lebih spesifik.

“Kami mahu mencari perubahan sebenar berhubung isu ini dan ia bukan hanya hangat-hangat tahi ayam atau hanya letak plaster, sebab itu ia perlu diminitkan dalam mesyuarat tersebut untuk dihantar kepada Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) dan beliau (Khairy) juga telah dimaklumkan berhubung isu ini,” katanya.



Norlela berkata, beliau juga telah menerima begitu banyak pandangan yang tidak ternilai tentang isu dihadapi oleh doktor pelatih dan doktor muda serta cadangan tentang cara untuk merombak sistem sedia ada.

Pada 17 April lalu, doktor pelatih itu ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lepas di HPP dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis.

Pada Selasa lalu, sebuah portal berita melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan seorang doktor pelatih HPP ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, beliau berkata polis tidak menolak akan mengklasifikasikan semula kes itu sekiranya menemukan bukti baharu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker