KPDNHEP warta pelitup muka bukan perubatan

KPDNHEP telah mewartakan pelitup muka bukan perubatan dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan), di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 berkuat kuasa semalam.

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mewartakan pelitup muka bukan perubatan dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan), di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 berkuat kuasa semalam.

KPDNHEP dalam kenyataan semalam menyebut pewartaan itu bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

 

 

Menerusi perintah itu, pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku pihak berkuasa yang dilantik oleh KPDNHEP. Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat oleh pengguna.

“Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan.



“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport,” kata kenyataan itu.

Syarikat yang tidak mematuhi arahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

“Pewartaan ini adalah inisiatif kerajaan prihatin atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

“KPDNHEP berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti dalam pasaran negara akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport,” kata kementerian itu.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker