Polis siasat pergaduhan di restoran nasi kandar

Jempol: Polis menerima laporan seorang lelaki mendakwa ditumbuk lelaki lain di kaunter bayaran sebuah restoran nasi kandar di Bahau di sini, yang kejadiannya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu semalam.

Katanya, pergaduhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati ibu mangsa mengenai harga nasi goreng dan telur yang perlu dibayar.

“Juruwang restoran dikatakan meninggikan suara kepada ibu mangsa yang mempertikaikan harga makanan itu yang bernilai RM6.

“Berang dengan tindakan jurujual terbabit menyebabkan mangsa mengambil kotak tisu dan membaling ke arahnya.

“Balingan terkena barang-barang yang berada di atas kaunter dan dilihat pekerja restoran. Pekerja itu kemudian menumbuk mangsa dan berlaku pergaduhan,” katanya dalam kenyataan.

Hoo berkata, pelanggan dan pekerja lain meleraikan pergaduhan itu dan mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau.

Beliau turut menafikan dakwaan pihaknya campur tangan dalam menyelesaikan kes terbabit, sebaliknya mengambil tindakan mengikut peraturan ditetapkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil untuk membantu melengkapkannya,” katanya yang turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi hingga menjejaskan ketenteraman awam.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

METRO

Leave a Reply