2 suspek kes samun kedai pajak gadai dicekup

Tumpat: Dua individu ditahan berhubung kes samun di kedai pajak gadai emas dekat Jalan Besar di Pasir Mas, dekat sini, Khamis lalu.

Lelaki dan wanita berusia 30-an itu ditahan di Pasir Mas, Jumaat lalu dan kini direman selama tujuh hari sehingga 12 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK).

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan membawa kepada dua penahanan individu ini.

“Kami sedang mencari bukti baharu serta perlu mengesahkan beberapa kenyataan saksi.



“Banyak percanggahan daripada kenyataan yang diterima dan kita juga sedang mendapatkan kenyataan daripada saksi lain,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.45 petang Khamis lalu, tiga lelaki bertopeng menyamun premis itu menggunakan senjata menyerupai pistol dan pisau.

Enam pekerja premis itu diikat serta dipaksa berada di bawah meja sebelum penyamun mengarahkan seorang daripada mangsa membuka laci di dalam peti besi sebelum mengisi wang tunai dianggarkan berjumlah RM1 juta serta pelbagai barangan kemas ke dalam beg.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis pemakaian lencana pangkat dan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tumpat antara Superintendan Tan Seng Lee yang memangku jawatan itu sebelum ini kepada pemangku Asisten Komisioner Amran Dolah.



Dalam perkembangan Op Selamat yang berakhir semalam, Muhamad Zaki berkata, 11,508 saman dikeluarkan dengan kesalahan memandu melebihi had laju paling banyak direkodkan iaitu 7,775 saman.

Beliau berkata, daripada angka itu, 3,542 adalah saman untuk pelbagai kesalahan manakala kemalangan maut mencatatkan sebanyak 14 kes dengan 15 kematian.

“Agak menghairankan apabila banyak dikesan kesalahan membabitkan tiada lesen memandu dan kenderaan yang digunakan adalah yang disewa.

“Kita mencadangkan agar pengusaha kereta sewa menyelidik terlebih dahulu latar belakang penyewa bagi mengelakkan masalah yang timbul,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker