3 jam kutip sampah

LIPIS: Tempoh tiga jam diambil sekumpulan enam penduduk Padang Tengku, di sini, mengutip 30 beg dipenuhi sampah sarap yang ditinggalkan atau dibuang dari dalam kenderaan pengguna laluan Central Spine Road (CSR) dari Merapoh ke Gua Musang sepanjang cuti Aidilfitri.

Penduduk, Tengku Al Malek Faizal Tengku Kasim, 42, berkata dia bersama lima yang lain menyedari banyak sampah dibuang di sepanjang 400 meter laluan itu, lalu mengambil inisiatif mengutip sisa yang bertaburan berkenaan.

Katanya, pembersihan itu hanya dapat dilakukan hari ini selepas kebanyakan pengguna jalan raya sudah pulang ke Lembah Klang sehingga semalam.

“Kami rasa terpanggil membersihkan kawasan terbabit sebab terlalu kotor, bau busuk serta menyakitkan mata memandang. Inilah keadaannya setiap kali cuti perayaan dan cuti sekolah sejak lima tahun lalu, sampah dibuang merata-rata dari dalam kenderaan yang melalui jalan itu, ” katanya.

Katanya, pelbagai jenis sampah ditemui, terutama sisa makanan, bekas makanan, polisterin, plastik, tin minuman mahupun lampin pakai buang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustafa Long memuji sikap penduduk apabila sanggup mengutip sampah secara sukarela.

Menurutnya, isu berkenaan berlarutan sejak kira-kira lima tahun lalu apabila laluan berkenaan dibuka dan masalah sampah akan muncul pada musim perayaan apabila orang ramai pulang ke kampung.

“Saya minta pengguna jalan lebih bertanggungjawab dan berdisiplin menjaga kebersihan kerana dalam Islam pun, kita dituntut untuk utamakan kebersihan. Namun, setiap kali musim cuti panjang, jalan dari Padang Tengku ke Gua Musang dipenuhi sampah-sarap termasuk sisa makanan.

“Pengguna sepatutnya bersyukur kerana kerajaan menyediakan jalan raya yang lebih selesa dan sewajarnya ia dijaga terutama dari segi kebersihan,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply