Hasrat nak pakai ‘baju putih’ tertunai
Rawang:”Saya reda dengan pemergiannya dan bersyukur kerana Allah tunaikan impiannya untuk pakai ‘baju berwarna putih’ pada hari raya pertama walaupun persalinan itu adalah kain kafan,” kata Sabariyah Ismail.
Sabariyah, 32, dan suaminya, Mohamad Rashidee Abd Rashid, 34, diuji apabila anak sulung mereka, Raudhatus Solehah Mohamad Rashidee, 8, meninggal dunia akibat barah otak pada Isnin lalu bersamaan 1 Syawal.
Raudhatus Solehah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 12 tengah hari dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri di sini, kira-kira jam 4.30 petang hari yang sama.
Pemergian Raudhatul Solehah mendapat perhatian selepas bapanya, Mohamad Rashidee berkongsi kisah bersama gambar kanak-kanak itu dan permintaan terakhirnya sebelum meninggal dunia di Facebook (Fb).
Berkongsi kisah berkenaan, Sabariyah yang menetap di Bandar Tasik Puteri berkata, Raudhatus Solehah ada menyatakan hasratnya untuk memakai persalinan berwarna putih pada 1 Syawal kira-kira tiga bulan lalu.
Dia dan suami bagaimanapun tidak membelikan pakaian berwarna putih, tetapi hijau buat Raudhatus Solehah dan dua anak mereka yang lain, Rauhatus Solehah, 6, serta Raufatus Solehah, 4, malah mereka sempat bergambar bersama.
“Arwah seperti sudah memberi bayangan dia akan meninggal dunia antaranya dengan menyatakan keinginan memakai baju raya berwarna putih.
“Bagaimanapun saya tidak berfikir ke arah itu (kematian), malah suami ada bergurau dengan arwah dengan menyatakan lebih baik pakai baju sekolah jika mahu pakaian raya berwarna putih.
“Tak sangka pula, permintaannya itu petanda arwah mahu pergi meninggalkan kami semua,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Bercerita lanjut, Sabariyah berkata, Raudhatus Solehah disahkan menghidap barah, Februari tahun lalu, dan penyakitnya sudah berada pada tahap empat sejak ia mula dikesan.
Bagi memastikan barah tidak bertambah kronik, doktor di Hospital Selayang membuang ketumbuhan yang ada sebelum Raudhatus Solehah menyambung rawatan radioterapi dan kemoterapi di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
“Arwah sudah menjalani 31 sesi radioterapi, 30 kemoterapi dan rawatan kemoterapi susulan selama enam bulan.
“Dia juga sudah dua kali membuang ketumbuhan dengan yang pertama pada 16 Februari dan kedua, 23 Mac tahun lalu.
“Sepanjang tempoh itu, arwah tidak pernah mengadu sakit sebaliknya kuat semangat dan terima kesan kemoterapi iaitu keguguran rambut, malah tidak persoalkan apa yang berlalu mungkin kerana sudah melihat kanak-kanak lain senasib dengannya ketika di wad,” katanya.
Menurut Sabariyah, selesai menjalani radioterapi dan kemoterapi, Disember tahun lalu, Raudhatus Solehah menunjukkan perubahan positif walaupun tidak sepenuhnya sembuh.
“Bagaimanapun kesihatan arwah merosot selepas melakukan ujian Pengimejan Resonans Magnetic (MRI) keempat bermula dengan kebas tumit kaki dan punggung, kemudian tidak dapat membuang air kecil serta besar selama beberapa hari.
“Tiga hari arwah dimasukkan ke hospital pada 19 hingga 21 Mac lalu sebelum dibenarkan pulang namun ditakdirkan hayatnya tidak lama apabila meninggal dunia selepas menunjukkan perubahan drastik pada minggu terakhir.
“Sehingga hari ini, saya masih belum cuci baju terakhir dipakai arwah dan selalu menciumnya sebelum tidur bagi menghilangkan rindu, malah adik bongsunya Raufatus Solehah turut sedih hingga adakalanya menangis sendirian,” katanya.
Sabariyah berkata, dia berterima kasih kepada semua yang mendoakan Raudhatus Solehah sejak dia dan suaminya berkongsi kisah anak mereka di Fb, tahun lalu.
“Niat kami kongsikan perkembangan arwah sebelum ini bukan untuk jadikan kisahnya tular, cuma minta doa sahaja daripada mereka yang ternampak perkongsian berkenaan.
“Alhamdulillah, walaupun arwah dan kami sekeluarga tidak dikenali namun ramai doakan ibaratnya satu Malaysia ada dengan kakak (arwah).
“Semoga Allah kembalikan yang baik untuk kalian juga,” katanya.
METRO