Kasari pesalah trafik, 6 pegawai anggota polis ditukar

Georgetown: Enam pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah yang terbabit insiden mengasari pesalah trafik di Bukit Mertajam, di sini, semalam sudah ditukar ke bahagian pentadbiran serta-merta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kertas inkuiri polis sudah dibuka dan pihaknya akan merujuk kepada pendakwa raya bagi arahan lanjut selepas siasatan berkenaan selesai.

“Setakat ini kesemua pegawai dan anggota trafik yang terbabit dipindahkan ke bahagian pentadbiran dan dilucutkan sementara daripada menjalankan tugas hakiki.

“Polis Pulau Pinang akan menjalankan siasatan yang telus dan memberikan keadilan kepada semua pihak yang terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya juga sedang mengesan mangsa yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Difahamkan, pesalah trafik itu ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan menerusi Ops Selamat 18 di kawasan Bukit Mertajam.

Katanya, satu laporan polis sudah dibuat oleh pihaknya sendiri bagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira 1.15 pagi itu.

Menurutnya, insiden itu dirakam menerusi kamera papan pemuka seorang pengguna jalan raya sebelum dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘My Penang Hometown’.

“Polis sedang mengesan mangsa yang terbabit bagi tampil membuat laporan polis berkaitan insiden berkenaan.

“Kita juga akan mengenal pasti serta mendapatkan keterangan daripada pemilik akaun Facebook itu untuk siasatan lanjut, ” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker