Mechamato Movie kaut RM22.5 juta selepas 14 hari tayangan

KUALA LUMPUR: Selepas dua minggu ditayangkan di pawagam, filem animasi, Mechamato Movie mengaut RM22.5 juta ketika tumpuan terarah kepada karya ‘blockbuster’ Hollywood seperti Avatar : The Way of Water.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta), Nizam Abd Razak bersyukur dengan prestasi memberangsangkan filem itu yang melepasi jualan tiket lebih RM20 juta selepas dua minggu dipertontonkan.

“Ini suatu pencapaian melegakan berikutan Mechamato adalah jenama baharu dalam industri filem animasi tempatan,” katanya kepada BH Online.

Nizam berharap penonton terus menyokong Mechamato Movie kerana keuntungan yang bakal diterima perlu dibahagikan kepada banyak pihak.

“Selepas tolak duti hiburan 25 peratus dan kemudian dibahagi dua dengan pawagam, barulah bakinya kami terima.

“Itu belum tolak kos pengedaran dan pemasaran. Anggaran satu pertiga daripada kutipan ‘box office’ sahaja yang akan diterima Monsta.

“Kos penghasilan animasi sangatlah tinggi. Sebelum ini, kami maklumkan kos pembikinan Mechamato Series dan Movie adalah kira-kira RM30 juta.

“Jadi, kami harap anda akan terus menyokong dan menonton Mechamato Movie. Kepada sesiapa yang sudah menonton, boleh diulang lagi,” katanya.

Nizam mengakui sukar meraih keuntungan andai filem terbabit ditayangkan di Malaysia sahaja.

Justeru, Nizam berkata, Monsta dalam perancangan mengedarkan filem Mechamato ke luar negara, mulai tahun depan.

“Memang sukar untuk balik modal dan untung jika hanya berharapkan kepada tayangan di Malaysia.

“Disebabkan itu, kami akan beri fokus kepada eksport dan tayangan di luar negara mulai 2023.

“Untuk menghasilkan karya berkualiti, sudah tentu kosnya tinggi. Ada beberapa perkara yang boleh diperhalusi seperti peratusan duti hiburan dan insentif untuk eksport ke luar negara.

“Monsta komited untuk terus menghasilkan karya berkualiti dan kami perlukan sokongan anda semua,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker