Panggil nama arwah isteri sebelum maut dalam kebakaran rumah

Pontian: Seorang warga emas rentung apabila rumahnya terbakar di No 17, Kampung Parit Abas, Benut di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, Mohd Mismon Sukiran, 75, berada bersama tiga anaknya di dalam rumah separuh kekal itu.

Anak mangsa Norlela Mismon, 47, berkata ketika kejadian bapanya tidur di tingkat bawah, manakala dua anaknya tidur di tingkat atas.

Katanya, ketika kebakaran berlaku, dia bersama suami Mohd Razali Jamal, 54, serta empat anak berada di rumah sepupu yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.



“Difahamkan sebelum kejadian, adik saya yang tinggal di rumah itu mendengar bapa memanggil nama arwah ibu (Siti Aimnah) yang sudah meninggal dunia tiga tahun lalu.

“Adik cuba menyelamatkan bapa dengan membuka pintu biliknya tetapi gagal kerana berkunci dari dalam dan disebabkan api terlalu marak mereka terpaksa keluar,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Othman Mohd Baher berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2,40 pagi.

Katanya, dengan kekuatan 27 anggota termasuk BBP Benut dan tiga jentera berjaya memadam kebakaran jam 4.15 pagi.



“Rumah jenis separuh kekal itu musnah 90 peratus, seorang warga emas lelaki rentung, manakala dua mangsa lain lelaki dan wanita dewasa berjaya keluar.

“Mangsa ditemukan di bilik tidurnya dan seorang dari dua mangsa mengalami kecederaan melecur di tapak kaki selepas berjaya keluar, manakala seorang lagi mangsa tidak cedera.

“Mereka yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Benut dan mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat, ” katanya.

Menurutnya, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker