SAR diaktifkan cari warga emas hilang sejak Sabtu lalu

Manjung: Pihak berkuasa mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang di pantai Pasir Panjang, Segari di sini, sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 63 tahun itu disedari hilang selepas tiga anaknya menemui kereta Mercedes E280 milik bapa mereka di bawah pokok di berhampiran lokasi berkenaan.

Menurutnya, mereka kemudiannya ke Balai Polis Segari pada 10.15 malam, kelmarin selepas gagal menemui warga emas terbabit.

“Pihak polis kemudiannya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat di pesisiran pantai Pasir Panjang untuk mengesan mangsa yang dilaporkan hilang, namun mangsa tidak ditemui.

“Kita menemui tiga telefon bimbit mangsa dan beg mengandungi dokumen pengenalan diri dalam kereta milik mangsa di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, SAR masih diteruskan membabitkan kekuatan seramai 43 anggota daripada polis serta Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APAM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh.

Katanya, operasi turut membabitkan tiga bot dan dibantu oleh unit anjing pengesan (K9) daripada pihak polis dan bomba.

“Mangsa masih belum ditemui setakat ini dan kes masih dalam siasatan pihak polis serta diklasifikasikan sebagai kes orang hilang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Mohd Akmal Hussin berkata, operasi pencarian pagi ini memfokuskan di darat pada jarak tiga kilometer radius dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

Menurutnya, ia membabitkan Unit Must Team, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan K9 JBPM dan polis.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker