Tentera Israel bunuh warga Palestin di tembok Tebing Barat

BAITULMAQDIS: Seorang rakyat Palestin mati ditembak tentera Israel berhampiran tembok pemisah di Tebing Barat semalam, manakala di Baitulmaqdis, seorang polis sempadan Israel ditikam seorang rakyat Palestin.

Kedua-dua situasi ini meningkatkan keganasan yang mencetus kebimbangan terhadap kemungkinan konflik Israel-Palestin akan kembali melebar.

Insiden serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas tentera Israel menahan dua warga Palestin yang menyeludup masuk ke Israel dan membunuh tiga individu di bandar Elad pada Hari Kemerdekaan Israel, Khamis lalu.

Tentera Israel berkata, insiden tembakan terhadap warga Palestin semalam berlaku selepas ‘anggotanya mengesan seorang suspek yang cuba menyeberangi tembok keselamatan secara haram’ di bandar Tulkarm, Tebing Barat.

“Pihak tentera bertindak menghalang saspek berdasarkan prosedur operasi standard ditetapkan, dengan menggunakan peluru hidup,” kata jurucakap tentera Israel, manakala Kementerian Kesihatan Palestin mengesakan lelaki itu terbunuh.

Susulan insiden anggota polis ditikam di Baitulmaqdis semalam, polis sempadan di lokasi kejadian menembak penyerang warga Palestin itu, dan kedua-dua mangsa dan penyerang sedang dirawat atas kecederaan masing-masing.

Sejak Mac lalu, warga Palestin dan minoriti Arab Israel sudah membunuh 18 individu, termasuk tiga anggota polis dan seorang pengawal keselamatan, dalam serangan di Israel dan Tebing Barat, yang kebanyakannya menyasarkan orang awam.

Israel pula menjalankan serbuan di bandar dan perkampungan warga Palestin, yang mencetus pertempuran dan meningkatkan jumlah warga Palestin yang dibunuh tentera Israel kepada sekurang-kurangnya 41 individu sejak awal tahun ini.

Jumlah kematian itu termasuk anggota kumpulan militan, penyerang tunggal dan orang awam di tempat kejadian.

Warga Palestin dan polis Israel kerap bertempur di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, dengan Palestin dan Jordan mendakwa Israel tidak serius dalam mengenakan larangan terhadap orang bukan Islam untuk beribadah di situ, namun Israel menafikannya.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker