Jawatankuasa khas elak pertembungan GRS, BN pada PRU-15

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semalam membentuk Jawatankuasa Kerjasama Solidariti GRS dan Barisan Nasional (BN) sebagai antara usaha bagi memastikan tiada pertembungan antara parti dalam GRS dengan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata. pembentukan jawatankuasa itu adalah antara perkara yang diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS yang dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen gabungan berkenaan di Menara Kinabalu, semalam.

“Jawatankuasa Kerjasama Solidariti GRS dan BN ini dibentuk kerana kita tahu kerajaan negeri ketika ini adalah GRS-BN. Tujuan kita adalah untuk menyatukan parti dalam GRS dan BN supaya kita dapat menghadapi PRU akan datang bersama-sama.



“Kalau boleh tiada pertembungan di antara GRS dan BN,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Menara Kinabalu, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee.

GRS dibentuk empat parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PBS, STAR dan SAPP sebagai gabungan baharu politik Sabah yang bekerjasama dengan BN untuk mentadbir kerajaan negeri.

Sebelum ini, timbul kebimbangan mengenai pertembungan kerusi antara GRS dan BN pada PRU-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi berikutan kedudukan BN di luar GRS, selain dipengaruhi situasi BN dengan Perikatan Nasional (PN) yang tidak sehaluan di Semenanjung.



Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut mengumumkan penyertaan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang diketuai bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai parti komponen baharu GRS menjadikan lima parti kini berada dalam gabungan baharu itu.

Selain itu, Hajiji berkata GRS turut menimbangkan permohonan beberapa lagi parti lain untuk menyertai gabungan itu, antaranya Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

“Kita akan bincang permohonan daripada parti yang berminat untuk menyertai GRS,” katanya.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata GRS akan dilancarkan pada 26 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).



GRS didaftar secara rasmi oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai entiti politik baharu di Sabah pada Mac lalu dengan empat parti iaitu Bersatu, PBS, STAR dan SAPP sebagai pengasasnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button